Thursday 1 January 2015

Catatan Banjir Di Pasir Mas 25 - 29 Disember 2014- Manusia dan Kemanusiaan


Gelombang Kedua. 
Catatan ini merupakan sambungan kepada catatan pengalaman banjir sebelum ini.  Sekiranya hendak saya tuliskan semuanya ia akan menjadi satu tulisan yang panjang.  Insyallah saya akan cuba tuliskan satu persatu sementara ia masih segar dalam ingatan saya.
Banjir Gelombang kedua datang daripada Gua Musang ke Pasir Mas melalui sungai Kelantan.  Ketika saya di Keroh Kuala Krai saya sudah mulai bimbang bagaimana sekiranya air ini mengalir ke hilir.  Aras air yang tinggi dan arus yang kuat menandakan air semakin naik dan mengalir turun ke hilir.  Saya amat khuatir tentang air ini akan melimpahi seluruh kawasan Pasir Mas.  Benteng Air Muleh di bina dengan ketinggian aras dada lebih kurang 4 kaki daripada bandar Pasir Mas akan menjadikan air sungai mengepung bandar itu.  Apakah yang akan berlaku sekiranya benteng ini dilimpahi air dan airnya mengalir masuk ke dalam bandar.  Pada waktu itu hubungan telefon (Maxis) masih boleh digunakan sehingga jam 11 malam.  Namun sebagai ahli radio amatur kami banyak berhubung melalui radio untuk menyalurkan maklumat.  Melalui radio amatur kami mendapat maklumat tentang perkembangan semasa aras air di seluruh Kelantan.
Kami berjaya mencari jalan pintas ke keroh melalui maklumat radio amatur melalui cadangan oleh rakan-rakan ham.  Mereka  sentiasa menyalurkan maklumat tentang keadaan jalan raya yang masih boleh dilalui.  Sekiranya tidak boleh dilalui apakah jalan alternatif yang boleh digunakan.

Elektrik di Potong


Setelah pulang misi penghantar makanan di Sek Kebangsaan Bedal dan melawat Sek Men Agama Syukuriah , Keroh Kuala Krai ( seperti yang saya maklumkan sebelum ini,  kami hanya mengetahui ada pusat pemindahan di sekolah Agama ini apabila sampai di sana).  Saya sampai di pasir mas pada jam lebih kurang 12 malam.  Saya mendapat maklumat elektrik telah dipotong pada jam 11.00 malam.  Setelah saya berhenti di RDD Café saya sempat bertemu dengan Anuar Batu Karang seorang rakan ham yang bertanggungjawab menyelenggarakan kemudahan repeater RDD.  Beliau telah menukarkan bekalan kuasa repeater kepada kuasa bateri dan semua ahli Ham di ingatkan agar tidak bercakap hal yang sia-sia dan menggunakan repeater untuk hal-hal penting sahaja.  Untuk memastikan arahan ini di patuhi presiden ResK ( 9W2RRP) mengawal dan memantau penggunaan repeater dan akan mengeluarkan arahan “ Break” sekiranya terdapat perbualan yang melencong dan berpanjangan.
Tanpa melengahkan masa saya terus bergegas pulang ke rumah untuk melihat keadaan keluarga.  Alhamdulillah isteri saya telah bersedia membeli lilin dan kemudahan yang perlu untuk stok lebih kurang 5 hari. Masalah utama dunia hari ini  apabila tiada elektrik.  Semua kemudahan terbantut.  Ini termasuk kemudahan line telefon, bekalan air, bekalan minyak petrol dan sebagainya.  Pada waktu ini saya mula memantau keadaan air yang semakin melimpah di dataran Air Muleh.  Saya telah ke Masjid Lemal yang berhampiran dengan tebing sungai Kelantan bersama 9W2NCO dan seterusnya memantau pintu air KADA di Kelar bersama 9W2IRH.  Semasa berada di Kelar berhampiran dan dengan tangki air Kelar saya mendapati air mula melimpahi jalan raya dan melintasi jalan utama ke Tanah Merah.   Sekiranya  air terus melimpah ia akan membanjiri kawasan Pondok Lubuk Tapah, Kawasan Lati, Apam, dan seterusnya Lubuk Jong.

 Air di Masjid Lemal

Penunjuk aras kami mudah, sekiranya air mula melimpahi benteng Bandar Pasir Mas.. maka keadaan dalam keadaan bahaya.  Saya dua kali ke Masjid Lemal dan sekali ke Dataran Air Muleh untuk memantau keadaan air.   Pada malam itu keadaan masih lagi selamat. 


Air Di Dataran Air Muleh (25/12/2014)

Sehari sebelumnya, sebelum ke Keroh, saya bersama pegawai MERCY Pn Azura sempat ke bandar pasir Mas untuk ke ATM dan mengeluarkan wang. Pada waktu itu, kami menjadi pelanggan terakhir ATM Bank Rakyat untuk mengeluarkan wang sebelum ia di tutup atau plug off.  Di saat ini terlintas di fikiran saya duit banyak dalam bank pada waktu ini sudah tidak berguna kerana tidak dapat dikeluarkan. 


Air Di Bandar Pasir Mas. (25/12/2014)


Kami mendapat laporan dua buah lori yang membawa bekalan peralatan “post flood” untuk kawasan Rantau Panjang tersangkut di Kuala Krai.  Semua orang mengharapkan bantuan makanan kerana bantuan makanan di hampir terputus di base camp kerana telah diedarkan untuk mangsa banjir gelombang pertama di sekitar Pasir Mas. Pada waktu ini hujan turun sekejap-sekejap dan ia tidak akan menyebabkan banjir yang besar secara logiknya.  Tetapi banjir besar sebenarnya bukan datang daripada hujan sebaliknya datang dari arah hulu sungai Kelantan.

Base Camp berpindah


Pada 24/ 12 kami mendapat maklumat tentang 2 buah lori 3 tan yang membawa logistik daripada Kuala Lumpur tersangkut di  Sek Men Teknik Kuala Krai dan di Guchil 6.  Mereka tidak dapat meneruskan perjalanan kerana jalan telah terkepung dan dilimpahi air.
Maklumat mengatakan Jalan Raya Cameron Loging telah rosak, seterusnya Jalan Raya Gerik Rosak dan terdapat lori ayam jatuh ke dalam Gaung. Bagi mereka yang selalu memantau melalui whatassp dan internet atau FB tentu akan berasa sedikit resah kerana semua line telco pada waktu itu tidak boleh digunakan kecuali Celcom. Manakala  jalan Lebuh raya timur barat  juga semakin dilimpahi air.  Satu satunya untuk datang ke Kelantan pada waktu ini ialah melalui udara. Walaupun begitu misi menghantar bantuan di sekitar kawasan terjejas dengan banjir masih berjalan seperti biasa.  Cuma terdapat kerisauan tentang bekalan minyak petrol dan diesel akan habis.
Apabila mendengar berita tentang keadaan ini keadaan sedikit panik.  Orang ramai mula berebut membeli barang membuat stok makanan dan lilin.  Harga lilin semasa ialah 1.80 sekotak terjual dengan harga RM1 sebatang.  Stok barangan Thailand mula masuk. , minyak Thailand, sardin Thailand, air mineral, telur dan sebagainya.
Pada mulanya base camp MERCY ialah di Kampung Dangar Pasir Mas tetapi telah berpindah ke satu lokasi lain yang lebih selamat kerana air semakin tinggi.  Untuk mengelakkan penduduk tempatan menyerbu bekalan bantuan.  Bendera Mercy telah diturunkan di Base Camp.  Mahal sehingga sekarang saya masih takut untuk memberitahu di manakah base camp terkini MERCY untuk mengelakkan keadaan buruk berlaku.
Proses pemindahan stok makanan daripada base lama ke lokasi baru telah dilakukan secara berperingkat dan Alhamdulillah kami boleh lakukannya dengan lancar.
Semasa di Base Camp di Kg Dangar, pihak MERCY diuruskan oleh Puan Azura dan pegawai tertinggi MERCY Malaysia.



Base Camp Di Kg Dangar

Air Semakin Naik


Pada 26 /12 Pasir Mas bergelap.  Saya terlupa 25/12 adalah Krismas.  Cuma pengaruh angka 26 datang dalam minda saya apabila kebanyakan bencana alam berlaku di antara 24-26  Disember.  Saya menyangkal pemikiran liar itu meyakinkan hati saya bahawa semua ini ketetapan Allah.  Pada waktu ini telefon saya kehabisan bateri dan power bank berada di rumah. Sehari saya menyumbang masa hampir 12-16 jam bersama pasukan MERCY.  Begitu juga dengan ahli-ahli ResK yang lain.  Tuan Presiden (9W2 RRP) dan Timbalan Presiden (9W2HDR) termasuk Tuan Haji Nasir menyumbang masa hampir 24 jam berada di Base Camp bersama ahli-ahli MERCY yang lain termasuk Cik Hayati dan lain –lain.  Lokasi Base Camp baharu tidak dinaikkan bendera dan kami cuba beroperasi secara tenang untuk mengelakkan gangguan daripada orang awam yang semakin tertekan.
Bateri repeater telah beberapa kali ditukar kerana banyak rakan-rakan radio masuk untuk memaklumkan tentang keadaan semasa.  Fokus bantuan MERCY bersama ResK lebih menjurus kepada penghantaran makanan ke pusat-pusat pemindahan dan bukan individu.  Namun sekiranya ada individu yang datang ke Base Camp untuk meminta makanan. Pihak MERCY tidak akan membiarkan mereka pulang dengan tangan kosong.
Setelah bekalan elektrik dipotong kerana pencawang di Lemal dinaiki air.  Penduduk Pasir Mas mulai terasa tekanan dan berita tentang bekalan elektrik yang akan dipotong sehari sebelumnya terbukti benar walaupun ada mengatakan berita itu palsu.  Segala berita yang diterima dalam keadaan terjejas ini akan diterima sebagai benar dan dimasukkan di dalam perkiraan penduduk.  Oleh itu mereka mula panik dan orang ramai mula berpusu-pusu membeli makanan untuk membuat stok makanan.


Repeater Menggunakan Kuasa Bateri


Suka juga saya menceritakan tentang keadaan repeater apabila menggunakan kuasa bateri.  Ia melibatkan etika penggunaan kuasa bateri.  Bagi ahli-ahli rakan ham yang suka bercakap mereka gagal untuk mengawal perasaan itu dan membiarkan “jalur” kosong untuk digunakan oleh ahli-ahli yang perlu sahaja.  Ada yang bertindak sebagai pengulas dan bercakap hal sama berulang kali.  Ini melanggar arahan yang telah di keluarkan oleh Presiden tentang penggunaan repeater semasa kecemasan.  Walaupun begitu, keadaan ini dapat dikawal dan Repeater 9M4RDD menjadi alat penghubung utama apabila semua talian telefon terputus dan kehabisan bateri.    Repeater lain juga tidak dapat berfungsi apabila tiada bekalan kuasa. Repeater ini telah menjadi satu-satunya repeater yang menyalurkan maklumat.  Mengikut syarat SKMM repeater boleh berfungsi dalam jarak 50km.  Namun dalam keadaan in, kami mampu QSO ( berhubung) dengan Dabong, Kuala Krai sesetengah kawasan di Gua Musang.

Bersedia dengan Bateri
Alhamdulillah kemudahan ini memberikan kelebihan kepada ahli-ahli rakan HAM untuk memantau keadaan semasa banjir.

Agihan Makanan


Setelah perhubungan Jalan raya dan bekalan elektrik terputus,  masalah utama yang timbul ialah cabaran untuk menghantar bekalan makanan ke kawasan terjejas. Di sekitar Base Camp sahaja terdapat puluhan pusat pemindahan banjir seperti Sek Men Agama Lati, Sek Kangkong, Sek Kelar, Sek Dato Hamid Pasir Mas, Sek Othman Talib ( Tendong), Sek Pohon Tanjung, Sek Bakong, Sek Bongor, Sek Chetok, Sek Men Perempuan Pasir Mas , Sek Banggol Chicha dan berberapa pusat pemindahan banjir yang wujud secara ad- hoc walaupun tidak digezetkan kerana jalan untuk pusat pemindahan sudah terputus

Pengalaman Rakan-Rakan Ham


Pada waktu ini, rakan-rakan Resk menceritakan pelbagai pengalaman mereka yang memerlukan ruang yang panjang untuk saya turunkan di sini. Mungkin saya boleh senaraikan beberapa pengalaman mereka untuk makluman bersama.

1)      Dihanyutkan Air Deras


Peristiwa ini berlaku berapa kali lokasi yang sama iaitu Jalan Pintas  Lati ke Banggol Chicha.  Terdapat satu kawasan arus deras di kawasan sebelum lintasan keretapi selepas lampu isyarat. Arus air ini amat deras hingga mampu mengerakkan lori polis 3 tan.  Kejadian pertama telah meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun apabila sebuah kereta 4x4 jenis pajero telah dihanyutkan air setelah tergelincir ke dalam cerun yang di dalam air yang dihakis oleh air.  Ibu dan bapa mangsa terselamat apabila sempat keluar berdiri di atas bumbung manakala mayat mangsa ditemui tersangkut di bahagian pintu kenderaan mungkin kerana kegagalan untuk keluar daripada kenderaan terbabit.

Kejadian kedua di tempat yang sama apabila seorang remaja lelaki yang menunggang basikal hanyut dan mayatnya dijumpai dua hari kemudian di lokasi yang sama.

Di lokasi yang sama juga seorang pemuda menaiki motosikal untuk melawat ibunya di gelang mas telah hanyut dibawa arus deras lebih kurang jam 12 malam.  Ia berhampiran dengan lokasi base camp MERCY . pada waktu ini bekalan elektrik terputus dan keadaan jalan raya sunyi.  Cik Hayati telah mendengar jeritan meminta tolong dan sepasukan Skuad Rekreasi Sukan Air daripada Johor dan Perak telah bersama-sama dengan MERCY dan telah bergegas ke tempat kejadian.  Sewaktu sampai di tempat kejadian mereka hanya dapat melihat isyarat lampu telefon dan sudah ramai orang awam di sana tetapi tiada siapa yang berani menolong kerana arus deras.  Hj Nasir telah menggunakan kenderaan pacuan 4 roda beliau jenis Land Cruise dan pasukan rekreasi telah berjaya menghulurkan tali untuk menyelamatkan mangsa dan mangsa sempat berpaut pada tali dan Haji Nasir bertindak mengundurkan kenderaan yang tempat lebih tinggi. Alhamdulillah mangsa berjaya diselamatkan.


Lori 3 Tan Polis Tergelincir kerana Arus Deras.




Lokasi Bahaya Meragut Dua Nyawa.

Seterusnya pada 28 Disember 2014 berlaku satu tragedi dua beradik lemas kerana menaiki rakit katanya untuk pergi membersihkan rumah kerana air pada waktu ini mulai surut sedikit.  Mangsa pertama telah lemas dan mangsa kedua cuba untuk menolong akhirnya kedua-dua mangsa lemas. 
Lebih tragis lagi apabila sebuah lori polis 3 tan yang ditugaskan untuk pergi mengambil jenazah mangsa pula tergelincir ke dalam arus deras di lokasi dua kejadian lemas dan hanyut sebelum ini.




Operasi Mencari Dua Beradik Lemas dan Abang Mangsa Dahulu dijumpai

Seterusnya 9W2IXX memaklumkan beliau telah mendapat maklumat seorang wanita yang hendak bersalin telah diarahkan oleh pihak Dr Hospital Lati agar pulang walaupun wanita berkenaan sudah berada dalam keadaan kritikal ( keluar darah) atas alasan tiada bekalan elektrik.  Ini adalah satu tindakan yang tidak dapat diterima kerana wanita berkenaan telah mengharungi air ke hospital dan pihak hospital telah membuat satu tindakan yang melanggar etika kemanusiaan dan perubatan saya kira.
Alasan tiada bekalan elektrik tidak boleh diterima kerana ia seperti memberikan mesej pihak Hospital Lati tidak bersedia dan tiada pelan tindakan kecemasan.  Hingga sampai satu tahap pihak sukarelawan ResK iaitu Presiden RRP bertindak menjadi “MacGyver” berusaha menghidupkan set generator diesel yang rosak starter dan pihak ResK membantu memberi bekalan bahan bakar. Ini adalah sesuatu yang di luar jangka namun kerana terdapat keperluan terdesak pihak ResK terpaksa menolong.  Pihak pengurusan Hospital seperti mati kutu tidak dapat bertindak melakukan apa-apa sekiranya berlaku kecemasan
Manakala  9W2HDR pula menceritakan beliau berusaha untuk pergi menjemput tiga orang jururawat yang bertugas di hospital  Lati dengan kenderaan sendiri dengan mengharungi air yang dalam hingga tenggelam lampu hadapan kenderaan 4x4 beliau kerana keperluan mendesak di hospital kerana tidak cukup kakitangan .  Namun jururawat terbabit menolak jemputan itu atas dasar bukan giliran atau shift dia bertugas.

Banyak lagi kisah-kisah yang saya dengar- dengar tetapi saya tidak masukkan kerana bukan datang daripada sumber pertama.

Barangan Thailand


Oleh sebab perhubungan terputus dan boleh katakan penduduk dalam keadaan kurang bersedia dan tidak menjangkakan banjir akan datang dengan gelombang yang besar.
Bahan-bahan yang sering menjadi permintaan penduduk ialah , minyak masak, lilin, biskut, sardin , beras dan beberapa keperluan asas yang lain.
Minyak masa mula menjadi pilihan kedua untuk membuat lilin apabila kehabisan lilin.  Lilin dijual dengan harga RM 1 sebatang.  Bekalan barangan keperluan asas daripada Thailand mula masuk walaupun pintu pagar sempadan tidak boleh beroperasi kerana tiada bekalan elektrik. Mungkin bekalan ini masuk melalui sampan atau perahu melalui sungai golok.
Bekalan Petrol daripada Thailand mula masuk.  Buat pertama kali saya melihat minyak Thailand berwarna merah dan hijau.  Biasanya warna petrol di Malaysia warna kekuningan.  Saya hampir was-was untuk membeli minyak untuk digunakan pada motor.  Pada waktu ini kereta saya telah dialihkan ke atas jalan depan kedai saya.  Kawasan itu agak tinggi berbanding kawasan lain.  Saya mengambil tindakan awal dan pada waktu ini, jiran-jiran sekitar seperti ketawa dan gelak melihat tindakan saya.  Saya seperti kelihatan terlalu takut dan bersedia walhal mengikut mereka kawasan rumah kedai saya ini tidak pernah dinaiki air.  Saya mempunyai alasan say sendiri setelah melihat sendiri aras air dan bahaya banjir yang berlaku di Keroh. Biarlah apa yang mereka katakan yang penting saya telah cuba memberitahu mereka tetapi mereka “seperti tidak yakin” kerana tidak melihat sendiri.
Saya menjadi orang pertama di kawasan itu “parking” kereta di tepi jalan dan saya mencari kawasan yang paling tinggi dan kebetulannya ia tidak jauh daripada kedai saya.
Pada waktu ini, budak-budak motor masih lagi galak bermain motor dan mengharung air.  Mereka mungkin tidak boleh menjangkakan minyak motor mereka akan menjadi aset penting sehari dua lagi.
Ternyata dugaan saya benar apabila sehari selepas itu berlaku kegiatan mencuri minyak kenderaan kereta-kereta yang diletakkan di tepi jalan.  Pada waktu itu, saya bergerak menggunakan motosikal dan meter minyak menunjukkan ada 2 blok yang masih boleh digunakan.  Saya sempat berjalan kaki hampir 3km untuk ke Base Camp MERCY dan mengharung air untuk menyertai pasukan 4X4.  Catuan minyak yang saya lakukan berbaloi apabila di saat motor-motor Mat Rempit kehabisan minyak dan  stesen minyak telah ditutup kerana ketiadaan kuasa elektrik serta ditenggelami air.  Pada waktu itu, mereka melihat saya masih boleh menunggang motor. 
Pada waktu ini, saya dapat lihat ramai yang menggunakan basikal untuk meninjau air. Saya sempat berjumpa dengan seorang remaja yang mengayuh basikal hampir 10km untuk mencari line telefon untuk menghubungi keluarganya dan memaklumkan tentang banjir dan beliau selamat.

Penduduk Panik


Pada 26, 27 dan 28 Disember merupakan keadaan yang mencabar apabila elektrik terputus, air semakin naik, jalan terkepung dan bekalan makanan terputus kerana masing-masing memborong dengan kuantiti yang luar biasa untuk stok keluarga. Saya dan isteri telah membuat persiapan awal dan kami tidak risau sangat.  Apa yang kami risaukan ialah ke mana kami hendak pindah sekiranya air datang dengan cepat, deras dan dalam?
 Keadaan ini telah menimbulkan keadaan panik.  Kedai Haji Mat berhampiran dengan rumah saya telah diserbu oleh penduduk.  Begitu juga dengan kedai Kak Na di Repek.  Top up telefon habis, lilin habis, biskut habis, beras habis, sardin, Mie Segera, Mihun , minyak masak, ikan kering, budu semuanya licin.


Saya teringat kisah bagaimana keadaan manusia apabila mereka berhadapan dengan suasana kritikal, mereka akan menjadi individualistik.   Saya teringat tentang kisah di dalam Al-Quran tentang dahsyat kiamat seorang ibu akan melupakan anak yang baru dilahirkan kerana takut dengan dahsyat kiamat. Saya tidak berniat untuk samakan keadaan ini dengan dahsyatnya kimat cuma saya dapat melihat ia benar, ia benar dan benar. Manusia akan menjadi terlalu pentingkan diri sendiri dan keluarga mereka.  Itu adalah lumrah kerana begitulah kehendak Tuhan.  Dan sikap itu juga ada dalam diri saya dan semua orang kerana kita adalah manusia. 

Dua Malam Tidur di Masjid.


Setelah air semakin naik, pada malam itu 26 /12 saya mula bertindak membawa anak-anak ke masjid Lubuk Jong ke tingkat 1. Walaupun di tingkat bawah masih lagi kosong dan lebih selesa dan luas kerana tingkat 1 masih dalam proses pembinaan.  Pada waktu itu, air mula naik dari arah belakang kedai kerana kedudukan kedai saya terkepung dengan jalan raya dan menjadikan air lambat sampai.  Saya tidak mahu mengambil risiko dan terus kejutkan anak-anak berpindah ke Masjid.  Waktu sampai di masjid, hanya satu keluarga lain dan beberapa buruh Indonesia telah berada di tingkat 1 masjid.  Saya biarkan anak-anak dan isteri tidur di Masjid dan saya selitkan satu golok di dalam beg isteri untuk sebagai “keras semangat”.
Pada malam itu, saya tidur di kedai dan anak-anak tidur di masjid.   Saya hampir tidak tidur dan memantau keadaan air di kedai. Saya berusaha seorang diri mengangkat beberapa peralatan dalam rumah. Entah dari mana datang kekuatan saya boleh angkat beberapa peralatan yang agak berat dan cuba lapik dan tinggi sedaya mampu.
Saya telah menyelamatkan beberapa dokumen penting, dan peralatan komputer saya seperti-laptop, chargers dan sebagainya.  Sebagai seorang penuntut PhD saya amat risaukan thesis saya yang sudah memasuki bab 5 serta analisis data. Alhamdulillah saya telah backup awal-awal dan simpan di dalam cloud terlebih dahulu. Dan ternyata ia banyak membantu saya dalam keadaan ini.  Saya tidak risaukan peralatan dan apa-apa yang akan berlaku setelah kita berusaha kerana selebihnya berserah kepada Allah.



Aras Air Di Depan Kedai Hampir 3cm Mencecah Lantai
            Keadaan air naik dengan agak perlahan dan Alhamdulillah keesokannya aras air hanya hampir 3 cm daripada lantai kedai.  Tetapi di bahagian belakang kedai lebih rendah sudah dinaiki air. Pagi itu saya ke masjid berjumpa dengan anak-anak dan isteri mereka semua lena tidur berselimut tebal dan berbantal empuk. Saya bersyukur melihat mereka dan datang perasaan sayu di hati. Dan perasaan ini berlainan daripada perasaan sayu yang sering saya alami apabila mereka semua tidur apabila saya bangun malam.  Pagi itu  solat subuh berjemaah di masjid menggunakan lilin dan hanya tinggal satu saf sahaja berbeza daripada hari-hari sebelum ini, mungkin kerana rumah Pak Imam pun dinaiki air di Tasik Berangan dan jalan di Repek ditenggelami air.  Selepas solat di dalam doa biasa saya menambah doa agar banjir ini segera berakhir dan air di langit berhenti turunkan hujan dan bumi sedut lah air bah yang banyak ini.  Pagi tu menjadi pagi yang begitu hening kerana tiada lagi kenderaan motor dan kereta kerana lubuk jong sudah menjadi pulau dikelilingi air.
            Bagi anak-anak mereka seronok hendak pulang kerana hendak main air.  Anak yang sulung bertanya bila air nak sampai. Anak yang kedua pula berkata nanti banjir boleh kita “igat” ikan. Kakak dan adik yang bongsu gembira nak main air. Mereka tidak tahu perasaan Walid dan Umminya yang amat bimbangkan mereka.
Diringkaskan pada sebelah petang air mula melimpahi sedikit lantai kedai.  Jadi pada malam itu, kami sekeluarga tidur di masjid.  Keesokannya harinya air mula surut dan kami terus berpindah balik dan kemas barangan.


Bekalan Air Bersih


            Bekalan air bersih juga terganggu apabila elektrik tergendala.  Semua bekalan air paip tiada dan kami bergantung pada bekalan air mineral , air minuman serta air perigi untuk mandi.  Alhamdulillah di sebelah kedai saya ada perigi dan ramai jiran-jiran datang untuk menumpang mengambil air untuk keperluan harian.

Pengurusan Pusat Pemindahan


Keadaan rumah kedai saya tidak terjejas teruk dengan keadaan banjir dan ini memberi peluang kepada saya untuk terus terlibat dengan pasukan bantuan banji. Walaupun pada 26 dan 27 Disember banjir melanda teruk di kawasan pasir mas ada beberapa kawasan yang tidak terjejas dengan banjir dan Rumah kedai saya boleh dikatakan dalam kategori tidak terjejas secara serius dengan banjir walaupun saya berpindah ke masjid.  Saya tidak berniat untuk nyatakan kawasan yang tidak terjejas dengan teruk dengan banjir dikhuatiri akan menimbulkan isu-isu lain selepas tulisan ini dan mungkin ada pihak-pihak tertentu akan menggunakan tulisan ini untuk sesuatu tujuan yang lain. Cukuplah saya menyatakan keluarga saya tidak terjejas teruk dengan banjir.
Satu hal yang perlu saya jelaskan di sini ialah tentang pengurusan pusat pemindahan banjir.  Keadaan ini berlaku di pusat pemindahan Sek Men Agama Lati Pasir Mas apabila tiada sistem pengurusan atau SOP yang jelas tentang pengurusan mangsa banjir.
Wujud masalah apabila keluarga mangsa yang berpindah masak secara berasingan dan berkelompok. Dan keadaaan ini berlaku semasa pemindaan mangsa gelombang pertama lagi iaitu melibatkan kg Apam, Seberang Merebau, Serongga dan kawasan Lati sendiri. Apabila keadaan ini berlaku ia menjadikan bekalan makanan tidak cukup kerana terdapat kecenderungan untuk membuat stok makanan keluarga dan bekalan makanan tidak mencukupi.  Keadaan tegang berlaku sehingga memaksa tentera mengawal kawasan ini.  Dan walaupun pasukan tentera dan JPAM mengawal keadaan ini  mangsa banjir masih menyediakan makanan secara individu dan bukannya berkelompok.  Ini sesuatu yang perlu diperbaharui pada masa hadapan agar semua mangsa mendapat bekalan makanan.

Seterusnya sepatutnya tidak wujud isu, Pusat Pemindahan yang di Gezetkan atau tidak ini kerana menjadi tanggungjawab pemimpin masyarakat setempat untuk memaklumi kepada MKN serta JKM tentang jumlah mangsa banjir di kawasan mereka.  Namun kerana ketiadaan bekalan kuasa elektrik dan perhubungan telefon menjadikan maklumat ini tidak sampai.  Maka ada sesetengah mangsa banjir terpaksa pulang ke rumah semula kerana tidak dapat makan dan kelaparan di pusat pemindahan banjir


Gambar Kenangan Pasukan MERCY 2014

Misi Ke Sek Bongor Pasir Mas


Gambar Kenangan bersama Hero-Hero daripda Perak Dan Johor. dan ResK

Bersama Tuan Haji Nasir

Preiden ResK RRP  (Vest) bersama Orang Kuat MERCY

Keadaan Rumah di Keroh Kuala Krai


Berjaya Sampai Di Sek Bedal Puan Azura


6.30 pm Persediaan untuk Sek Bedal


Salah Seorang Mangsa Banjir Di Bedal


Kaum Hawa menyediakan makanan secara berkelompok di Sek Bedal, ( tidak cukup periuk), Mereka minta periuk besar. Katanya masak non stop.


Licin Periuk


Sek Menengah Ugama Arab Syukuriah Bukit Sireh

Bergambar bersama bekalan bantuan di Base Camp Kg Dangar


Bantuan ke Ke Taman Rantau Mas Rantau Panjang (Gelombang Pertama)


Bersama di depan sekali baju oren (9W2RAK), Timbalan Presiden 9W2HDR, ( topi merah), 9W2KXM ( pegang Kamera), Saya, duduk Cik Hayati Mercy dan , Cik Sal Mercy.

Allah tidak menjadikan sesuatu perkara melainkan untuk memberikan peringatan kepada kita semua untuk berfikir tentang kebesaran dan kekuasaanNya.  Sesungguhnya Banjir ini menjadikan semua kami sama. Tiada kaya , tiada miskin di mata Allah yang membezakan kita ialah budi dan amal.
Mudahan segala amalan ini mendapat redha dan ganjaran daripada Allah. S.W.T.



Hubungi Damak di talian 017-978 4268 whatassp/ Telegram. untuk maklumat lanjut.Atau email ke waletgroup@gmail.com. Pilihan ditangan Anda..

No comments:

Post a Comment