Thursday 1 January 2015

Pengalaman Banjir Gelombang Pertama


Pengalaman Banjir Gelombang Pertama di Rantau Panjang dan Keroh ( Kuala Krai)
Bismillah .. Dengan Nama Allah.

Allah hu akbar, Allah hu akbar, Allah hu akbar
Saya mulakan catatan banjir di Kelantan bermula 23 Disember hingga 29 Disember 2014.  Bagaimana hendak saya mulakan. Saya termenung seketika sama ada saya perlu menulis secara kronologi atau saya mulakan kami sekeluarga selamat.  Apakah pengalaman yang telah kami lalui?.  Sesungguhnya ini semua satu ujian bagi kami Rakyat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya.  Dan ia mengingatkan saya tentang filem Noah yang  tonton tempoh hari. Banjir datang dengan keadaan tidak terjangka dan luar biasa.
Mungkin saya boleh mulakan dengan bagaimana saya boleh terlibat dengan pasukan MERCY.  Penglibatan saya di dalam pasukan MERCY bermula dengan saya mengambil lesen radio amatur.  Saya telah menjadi ahli persatuan ResK ( Rescue Kelantan ) Persatuan Radio Komunikasi dan Penyelamat Kelantan pada tahun 2013 dengan memegang  Call Sign 9w2DSW ( Nine Whiskey Two Delta Siera Whiskey) .   ResK menggunakan moto “Sahabat Setia dan Membantu”.
Sebelum saya ceritakan tentang banjir. Suka saya jelaskan banjir di Kelantan datang dengan dua gelombang. Gelombang pertama “banjir air hujan” Dan banjir kedua banjir air sungai hulu. Ketika banjir hujan kawasan terjejas teruk ialah kawasan rendah seperti  Rantau Panjang, Pasir Mas. Dan kawasan berhampiran dengan sungai –sungai utama.  Ini berlaku dari 20 hingga 23 /12 /2014. Manakala gelombang kedua melanda pada 24 hingga 29  Disember 2014.  Gelombang kedua ini melibatkan semua kawasan di pinggir sungai Kelantan dan hampir semua daerah terjejas dengan banjir air hulu ini.  Orang tua berkata bah ini lebih besar daripada bah merah 1967.  Semasa pergi melawat Emak  saya beliau berkata seumur hidupnya ini lah kali pertama bah yang paling besar pernah dilalui.  Pengalaman bah pertama semasa emak berada di Kg Gesing Pahang.
Ketika banjir gelombang pertam  saya sempat ke Aring dan Perasu kerana ada urusan penting di sana. Pada waktu ini banjir sedang melanda Rantau Panjang.  Bandar Rantau Panjang hampir tenggelam dan lebih kurang 70 %  bandar ini tenggelam air.  Dan ketika ke Gua Musang  (Aring  dan Perasu)kami tersekat di dua kawasan. Tetapi pada waktu ini saya menggunakan kenderaan 4x4 , tayar lipan, dan telah ditinggikan saya berjaya harungi limpahan air di atas jalan Machang, Pasir Gajah, dan Batu Jong. Pertama saya tersekat di Tanah Merah, apabila melalui kawasan  kampung belakang  masjid.   Dan kedua apabila saya melalui kg Pangkal Meleret.  Saya cub melalui jalan pintas di bawah jambatan tetapi air laju dan jalan sempit.  Oleh itu saya membuat cubaan untuk pergi ke jalan lama Machang, tetapi air sangat dalam. Dan akhirnya saya memasuki high way semula tetapi tersangkut pada deretan kenderaan di flyover kerana air sudah melimpah jalan raya dan arus kuat. Ada beberapa buah kenderaan telah tersadai di sana.  Kenderaan  4x4 membolehkan saya, meredah air. Dan alhamdulillah saya berjaya sampai di Aring dan Perasu. Dan untuk makluman pada waktu ini Pasir Mas masih lagi selamat hanya beberapa kawasan rendah sahaja terjejas
Apabila pulang daripada Aring dan Perasu. Saya  sempat pergi berjumpa kawan-kawan rakan ham (Rakan Radio) di RDD café.  RDD café ialah singkatan kepada “repeater ResK” yang menggunakan call sign 9M4RDD (Nine Mike Four Remo Delta-Delta).  Di sini saya mendapat maklumat terdapat rombongan MERCY daripada KL memerlukan bantuan untuk tunjuk arah dan logistik untuk menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di kawasan Pasir Mas (untuk makluman Rantau Panjang masih di kawasan jajahan pasir Mas, kerana ramai yang keliru Rantau Panjang sebagai sebuah bandar, walaupun ia hanya satu pekan kecil).  Pada hari pertama bantuan dengan pihak MERCY saya terlepas kerana pada waktu ini masih dalam perjalanan pulang daripada Gua Musang dan hanya sampai pada jam 12 tengah hari.  Dan pada hari yang sama pasukan ResK telah berusaha menghantar misi bantuan makanan di kawasan rendah di pasir mas melibatkan 17 kenderaan pacuan 4 roda seperti di Sek Bankong, Sek Banggor, SMK Kedai Tanjung, Jeram Perdah dan beberapa ke kawasan  pusat pemindahan di kawasan ini.
Pada keesokan harinya iaitu 24/12/2014 Saya mula terlibat dengan pasukan MERCY sebagai pembantu tunjuk arah ke lokasi di kawasan Pasir Mas.  Hari pertama saya terlibat dengan Mercy.  Kami telah pergi  menghantar bantuan makanan seperti  beras, sardin, gula, minyak, teh, kopi , biskut, dan lain-lain barang keperluan asas ke Taman Rantau Mas , Rantau panjang yang hanya boleh dimasuki dengan pacuan 4 roda yang tinggi enjin diesel.   (Rujuk Gambar )Saya mendapat maklumat sehari sebelumnya sudah terdapat 6 buah teller panjang bantuan daripada kerajaan pusat telah sampai membawa bekalan tilam, bantal.  Seterusnya saya terlibat menghantar bantuan ke Kampung Seberang Merbau, Sek Bongor di kawasan berhampiran dengan Sungai Golok.  Untuk memasuki kawasan ini kami terpaksa menggunakan bot dan bot enjin sangkut yang kami bawa tidak dapat digunakan sepenuhnya kerana kipas tersangkut  pada rumput.  Untuk makluman , kami menggunakan dua buah bot,  dan dua kali kami menghantar bantuan ke kawasan ini. Cubaan pertama menggunakan” air boat” ( Hasil ciptaan 9W2NJT) Pak Nojib, tetapi “Air boat” bocor kerana terlanggar pili bomba.  Oleh sebab itu, hanya sebuah bot yang bawa bekalan makanan sampai dan saya berada di dalam boat itu, pada waktu ini hujan lebat dan kami semua kebasahan.  Hanya bot enjin galah sahaja yang selamat digunakan.  Ini kerana bentuk sampan yang lebih tirus membolehkan bot galah menyelit di celah-celah kebun getah.  Pemandangan di kawasan kampung Bangor umpama terperangkap di sebuah pulau.  Dan mengikut bantuan pengerusi KRT kg tersebut En Tahar pada malam pertama air naik. Hampir 460 orang penduduk terpaksa berasak-asak di dalam dua bilik sekolah  yang kecil dan mereka tidak tidur dan ada yang tertidur dalam keadaan berdiri.
Alhamdulillah bantuan kami sampai pada hari kedua dan ketiga.  Pada rombongan bantuan kali kedua kami membawa bantuan yang lebih banyak dan sudah ada penduduk yang pulang ke rumah untuk membersihkan rumah.  Air hujan ini cepat surut dan pada kali ini hanya tinggal 70 orang di pusat pemindahan.  Penduduk di kg Bongor sebenarnya sudah biasa ditenggelami banjir dan hampir 80% rumah ada sampan Cuma banjir kali ini amat luar biasa dan mereka tiada bersedia untuk banjir yang sebegini besar.  Ada maklumat mengatakan banjir ini hasil limpahan air empangan Shukirin yang dilepaskan untuk mengelakkan empangan pecah. Saya tak pasti
Sedang kami menguruskan bantuan banjir di kawasan pasir Mas yang terjejas teruk kerana banjir air hujan, dan limpahan sungai.  Kami di kejutkan dengan berita banjir melanda Gua Musang dan Kuala Krai.  Kami menerima mesej daripada pihak berkuasa untuk misi menghantar bantuan makanan di kawasan Keroh, Kuala krai.
Pengalaman memantau berita-berita banjir melalui radio amatur satu pengalaman baru bagi saya. Di kawasan –kawasan  yang terjejas seperti Dabong, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang terputus bekalan elektrik, telefon  habis bateri dan mereka terperangkap. Hanya Radio Amtur sahaja medium berhubung dan Alhamdulillah saya ada kemudahan itu.   Satu berita yang saya terima daripada Dabong melalui salah seorang ahli rakan ham Kak Nah dengan menggunakan kuasa bateri meminta pertolongan bantuan makanan untuk seramai 65 orang di kawasan Jelawang yang sudah 2 hari terputus makanan mereka berpindah di bangunan Kesedar Jelawang berhampiran masjid.  Kami berusaha menyalurkan maklumat ini kepada pihak berkuasa.  Terdapat dua pasukan yang perlu di jelaskan . Bagi misi menyelamat ialah ATM, Polis, Bomba dan JPAM. Manakala MERCY adalah sebuah NGO yang terlibat untuk misi menghantar makanan dan bantuan medik serta kemanusiaan.
Seterusnya, tidak lama selepas itu, kami mendapat maklumat daripada seorang rakan ham di kuala krai yang memaklumkan terdapat mangsa pemindahan di Sek Kebangsaan Bedal seramai 1052 orang yang sudah 2 hari terputus makanan. Saya mendengar dengan hati yang sayu tidak menjangkakan banjir di hulu lebih hebat.
Setelah mendapat pengesahan dan kebenaran daripada pihak berkuasa pasukan kami berusaha untuk menghantar makanan di Sek Bedal Kuala Krai.  Perjalanan ini melalui satu trip yang lebih mencabar daripada bantuan di Sek Bongor.   Kami membawa bekalan-bekalan makanan asas  bersama peralatan seperti 2 buah boat dan  6 buah kenderaan pacuan 4 roda.   Untuk ke Sek Bedal kami terpaksa memilih ke Rantau Panjang, kerana lebuh raya Pasir Mas ke Tanah Merah telah terjejas, bandar baharu Tanah Merah hampir lumpuh dan tenggelam air.  Kami melalui jalan Bukit Tandak, melalui Kemahang dan terus keluar di jalan Tanah Merah Jeli.  Perjalanan kami ke Machang ini terganggu kerana air mula naik di simpang empat Tanah Merah Kusial dan paling menyedihkan ada kenderaan yang tinggalkan di tengah jalan semata-mata untuk bermain air, ia umpama pesta main air banjir sedangkan ada nyawa yang perlu diselamatkan.   Pada waktu ini air telah naik dengan cepat dan beberapa buah rumah telah tenggelam di sepanjang jalan.   Ketika melalui jalan ini, saya mula teringatkan keluarga saya di Pasir Mas.  Macam mana sekiranya banjir ini sampai ke kawasan saya di Lubuk Jong. Saya terus menaip whatassp kepada isteri saya mengarahkan supaya beli, lilin, bekalan makanan ekstra, dan berpindah ke Masjid Lubuk Jong di tingkat dua jika perlu berpindah (walaupun tingkat 2 belum siap sepenuhnya). Pada waktu ini saya lihat kawasan bandar baharu di Tanah Merah tenggelam.  Aras air di Putera Velly melimpah hingga ke tingkat 4 kerana berada di kawasan rendah.  Rumah-rumah yang besar, indah, gah cantik, tenggelam di kawasan Pusat Pemulihan Akhlak. Maka terdetik di hati saya. “ apakah ini semua?”, apakah hikmah dan pengajaran di sebalik ini semua?.  Saya kaku dan mula datang satu gambaran di dalam filem Noah yang saya tonton sebelum ini.  Ahhh besar sungguh imaginasi saya.
Setelah melalui perjalanan hampir 3 jam kami sampai di Keroh Kuala Krai. Pada waktu ini. Pasukan Askar, Bomba, Polis telah sampai.  Sejurus sampai, kami terus loading barang-barang ke dalam boat dan hendak ke Sek Bedal.  Pada waktu itu jam hampir 7 malam.  Sebelum bertolak ke lokasi saya sempat mencadangkan kepada presiden ResK Abang Ji supaya membawa bersama seorang penduduk tempatan sebagai penunjuk arah agar kami tidak sesat dan tersangkut.  Lupa untuk saya maklumkan pada waktu ini  air banjir paras tiang elektrik.  Bot kami melalui air yang deras dan menyusul melalui wire elektrik.  Walaupun difahamkan elektrik telah dipotong tetapi kami tetap berhati-hati.   Untuk sampai ke Sek Bedal kami menaiki bot lebih kurang 45 minit kerana kami menggunakan bot laju yang besar milik ResK kerana ini sahaja yang  ada. Kelemahan bot laju “speed boat” ia mesti dipandu laju untuk memudahkan kawalan dan digunakan di kawasan luas.   Sebaliknya dalam operasi ini kami terpaksa melalui celah-celah bumbung rumah, tiang elektrik, pokok getah dan hujung pucuk pokok yang tinggi dan bot tidak boleh dipandu laju.  Apa sahaja boleh berlaku walaupun kami memakai jaket keselamatan.  Saya mendapat pengalaman baharu pemandu boat akan ada masalah apabila kita membuka lampu kerana pantulan air menjadi pemandu bot silau. Beliau mengarahkan saya menutup lampu dan hanya buka bila perlu. Dengan muatan yang banyak dan boat yang dipandu secara perlahan menjadikan keadaan boat terhuyung hayang.  Alhamdulillah kami berjaya sampai dengan selamat.  Terima kasih kepada Mat seorang pemuda tempatan yang sudi menjadi penunjuk arah.  Beliau boleh memberitahu di mana ada besi, di mana ada kereta tenggelam, lembu mati, besi tajam dan halangan-halangan sepanjang perjalanan menaiki boat dalam gelap dan membolehkan selamat sampai ke destinasi.  Semasa perjalanan menggunakan boat saya ada melihat sebuah truck tentera juga terperangkap di dalam air mungkin kerana silap menjangkakan kedalaman air di atas jalan.
Ketika di dalam boat tablet Andriod saya melaungkan azan Maghrib. Saya pun niat jamak takhir.   Apabila sampai di kawasan Sek Bedal. Kami dapat maklumat mereka sudah 2 hari berlapar , tidak cukup makanan dan mereka dengan sedih memberitahu kami terpaksa memecahkan stor koperasi sekolah untuk mencari apa –apa yang boleh dimakan dan keutamaan diberikan kepada kanak-kanak.
Apabila kami sampai, baru kami tahu rupa-rupanya ada dua buah sekolah di sana , pertama sekolah Agama ( Arab) yang menempatkan lebih kurang 80 orang mangsa (Gambar). Dan  Sek Bedal.  Maklumat yang kami dapat hanya ada sebuah pusat pemindahan banjir.  Kami tidak mampu membuat apa-apa dan kami juga turut melawat mereka walaupun rasa sedikit bersalah kerana masuk ke Sekolah Arab tadi dengan tangan kosong kerana semua makanan telah diserahkan kepada Sek Bedal.  Tapi kami berfikiran  positif setidak-tidaknya lawatan kami boleh menyampaikan mesej bahawa penderitaan mereka mendapat perhatian.  Dan pihak Mercy lebih memberikan fokus untuk menghantar makanan kepada pusat pemindahan bukan secara individu.
Semasa di Sek Bedal, saya dapat melihat betapa  tinggi nilai budi penduduk masyarakat Melayu Kelantan  di sini dalam mereka menzahirkan nilai terima kasih mereka. Walaupun tidak cukup makanan, tetapi mereka masih menghormati tetamu dan tidak kedekut untuk menghidangkan kami dengan roti goreng dan air secara ala kadar.  Saya malu dengan budi itu dan saya menolak hidangan itu kerana saya fikir mereka lebih memerlukan kerana rombongan kami datang untuk membantu. Dan mereka bersungguh-sungguh dan hampir memaksa saya menjamah roti tersebut.   Tetapi saya tidak sampai hati untuk menjamah roti itu bukan kerana tidak sedap tetapi saya fikir masih ramai anak-anak kecil yang lapar pada waktu itu.
Alhamdulillah misi menghantar makanan berjaya dan kami merupakan pasukan pertama sampai ke sana.  Semasa kami hendak ke boat . Kami dapat maklumat ada kematian.  Seorang warga emas meninggal kerana sakit tua.   Timbul persoalan di benak saya. Bagaimana mereka hendak uruskan jenazah.  Air masih belum surut, perhubungan terputus elektrik pun tiada.  Saya mendapat maklumat ramai penduduk lari ke bukit untuk menyelamatkan diri. Dan pihak Tentera mengagihkan bantuan makanan melalui udara.
Kami terpaksa bergegas pulang kerana pada bimbing air melimpah ke jalan di Tanah Merah dan kami akan terperangkap.  Apabila sampai di bandar Machang, saya cuba menelefon isteri saya berkali-kali namun tidak masuk.   Whatassap family group juga terputus hati mula sedikit runsing.  Dan saya berdoa agar semuanya selamat sebelum saya tertidur di dalam perjalanan kerana keletihan.  Terima kasih kepada Hj Nasir yang pakar memandu kenderaan 4x4. Alhamdulillah kami sampai di Pasir Mas jam 12 malam. Pada waktu itu, repeater kami tiada bekalan elektrik dan kami sampai dalam keadaan Jajahan Pasir Mas bergelap.  Alhamdulillah, repeater kami boleh beroperasi dengan kuasa bateri.  Setelah mendapat bekalan kuasa kami boleh berhubung semula.
Alhamdulillah saya selamat sampai ke rumah pada 25/12/2014 dan Pasir Mas masih belum dinaiki air, jalan masih kering kontang.  Saya menceritakan pengalaman saya kepada isteri saya dan dia faham betapa serius banjir kali ini.  Esoknya saya ceritakan kepada jiran saya.  Banjir kali ini amat luar biasa. Dan dengan selamba dia berkata.. ”kawasan kita air tidak sampai kalau ikut pengalaman lepas”.  Saya cuba meyakinkan berkali-kali.. tetapi beliau masih mengulangi perkataan yang sama. Saya pun “diam”.
Insyallah nanti , kalau ada kelapangan malam nanti saya akan tuliskan pengalaman bagaimana PASIR MAS lumpuh sepenuhnya dilanda banjir gelombang kedua.  Nak kemaskan rumah dahulu.- Wan Damak ( 9W2DSW)- Terima Kasih.








Hubungi Damak di talian 017-978 4268 whatassp/ Telegram. untuk maklumat lanjut.Atau email ke waletgroup@gmail.com. Pilihan ditangan Anda..

No comments:

Post a Comment