Sungguh aku ingin terbang... mengapai awan, menyebarang lautan, sungai, hutan, sawah dan ladang..
aku ingin terbang mecari ketenangan.. dan memahami bagaimana sang walit bisa bebas diudara untuk mencari makan, meneruskan fitrah kitaran dan sunnatahullah mengikut ketetapan Tuhan..
Aku.. insyallah akan belajar bagaimana Para Motor dan paragliding untuk mencapai nikmat terbang bebas..
insyallah.. Doa .doakan
Hubungi Damak di talian +6012-5917493 @ 012 9626 124, untuk maklumat lanjut.Atau email ke waletgroup@gmail.com. Pilihan ditangan Anda..
Sunday, 29 December 2013
KELESTARIAN USAHAWAN SARANG BURUNG WALIT MELAYU DI KELANTAN: SATU KAJIAN FENOMENOLOGI berasaskan Teori self-efficacy
KELESTARIAN USAHAWAN SARANG BURUNG WALIT MELAYU DI KELANTAN: SATU KAJIAN FENOMENOLOGI berasaskan Teori self-efficacy
( Kemujaraban kendiri)
Wan Khairy bin Wan Ibrahim
Fakluti
Keusahawanan dan Perniagaan
Universiti
Malaysia Kelantan
Prof
Madya Dr.Mohd Rafi bin Yaccob
Fakluti
Keusahawanan dan Perniagaan
Universiti
Malaysia Kelantan
Abstract
This paper provides early
insight into the entrepreneurship sustainability of edible bird’s nest industry
in Kelantan. Further explores issues
related to current issues and sustainability of the entrepreneurial
environment. This paper draws upon the
responsibility and Malays entrepreneur’s
self-efficacy to sustain as a basis of study.
A number of relevant dimension are going to be analyzed. Indeed, there
is a clear and inherent need to distinguish between the business ideas
especially when he or she is focusing on the development of business and
becoming an entrepreneur. At the same time it is important to assess whether a
directive or non-directive style is more appropriate. This is fundamentally a
conceptual viewpoint paper and it contains both anecdotal evidence and opinion. This paper offers a commentary and a
framework dimension for entrepreneurs to be more effective and efficient and at
the same time discusses the relevance depth and understanding of the said
industry.
Keywords: Entrepreneurs,
sustainability, edible bird’s nest industry in Kelantan.
1.0 Latar Belakang Kajian
Kajian ini merupakan satu eksplorasi
fenomenologi untuk mencari tema-tema keusahawanan dalam industri Sarang Burung
Walit (SBW) Melayu di Kelantan.
Penglibatan kaum Melayu dalam industri yang dipelopori oleh kaum Cina
menarik untuk diangkat sebagai tema utama kerana ia mampu menunjukkan
keistimewaan, daya tahan serta daya kelestarian yang dimiliki oleh usahawan
Melayu dalam perniagaan. Kajian ini
difikirkan bermanfaat kepada perkembangan ilmu keusahawanan orang Melayu dan
perkembangan dunia akademik. Fokus utama
kajian akan menggunakan teori “
self-efficacy” yang dibangunkan oleh Albert Bandura (1977).
Self-efficacy diterjemahkan
oleh Pusat Rujukan Persuratan Melayu, salah satu badan rasmi di bawah Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai “ kemujaraban
kendiri” (Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan
Bahasa dan Pustaka, 2009).
Kajian ini akan menggunakan istilah kemujaraban kendiri sebagai merujuk
kepada teori self-efficacy, Teori ini
merupakan salah satu cabang utama dalam teori sosial kognitif yang dibangunkan
oleh Albert Bandura. Aspek-aspek khusus
yang mendorong kelestarian perniagaan SBW akan diteliti menggunakan elemen
dalaman dan luaran yang akan diperoleh melalui dapatan kajian nanti. Kedua-dua elemen ini akhirnya akan menjadi
persoalan penting kajian ke arah percubaan untuk mencari tema-tema konseptual
kelestarian usahawan SBW Melayu di Kelantan.
2.0 Skop Kajian
Kajian ini terbatas dengan beberapa
skop berdasarkan sumber kewangan, masa dan ruang lingkup kawasan kajian seperti
di bawah;
a) Penelitian terhad kepada sebilangan
usahawan SBW Melayu di Kelantan yang berjaya sahaja. Usahawan SBW yang dimaksudkan ialah mereka
yang memiliki Rumah Burung Walit (RBW) sendiri secara individu dan bukan secara
berkongsi. Ini bertepatan dengan objektif
kajian untuk mencari tema-tema
keusahawanan yang bersifat individu dan usahawan itu sendiri merujuk kepada
individu. Usahawan yang dipilih
melibatkan mereka yang telah memiliki RBW dan telah berhasil menjual SBW
melebihi 5kg sebulan. Ini berasaskan purata
harga minimum SBW sebanyak RM 800.00 sekilogram. Maksudnya purata minimum pendapatan sebanyak
RM 4,000.00 x 12 bulan = RM 48,000.00 setahun.
Ini adalah melebihi hampir dua kali ganda jumlah minimum pendapatan
bercukai yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN) pada tahun
2010. Mengikut banjaran LHDN pendapatan
individu sebanyak RM 48 ribu boleh
dikenakan cukai sebanyak 12 peratus (Lembaga Hasil Dalam Negeri, 2012).
Ini bersamaan 1 peratus setiap bulan.
Tanda aras LHDN digunakan supaya dapat mengetahui pendapatan yang wajar
dikenakan cukai dan mereka tergolong di dalam kelompok mereka yang berpendapatan
tinggi. Antara sebab lain juga, untuk
menghasilkan 5kg sebulan memerlukan RBW yang telah beroperasi lebih daripada 5
tahun (Lim, 2007).
RBW yang telah didiami oleh BW melebihi 5 tahun telah berjaya menjadi
habitat burung layang-layang gua secara kekal dan mereka akan terus menetap di
RBW yang sama untuk generasi berikutnya.
b) Pengkajian tema-tema kelestarian
keusahawanan tidak dapat dihadkan kepada jumlah usahawan yang ditemu bual
sebaliknya akan dilakukan sehingga keseragaman tema-tema ditemui. Dengan lain
kata, jumlah usahawan yang bakal ditemu bual tidak terhad kepada jumlah
tertentu kerana jumlah temu bual tidak jadikan satu penilaian mutlak kepada
keseragaman tema yang akan dihasilkan. Merriam (1988),(2009) danYin (2002) menggunakan istilah “saturated” atau tepu untuk menggambarkan
keadaan ini.
c) Pemilihan Kelantan sebagai lokasi
kajian berdasarkan majoriti Melayu paling ramai jika dibandingkan dengan orang
Cina yang menjadi pelopor kepada industri ini.
Pada tahun 2010
jumlah penduduk di Kelantan seramai 1.54 juta orang. Daripada jumlah itu sebanyak 82.8% atau 1.275 juta orang merupakan kaum Melayu (Jabatan
Perangkaan Malaysia, 2010). Maksudnya lain-lain kaum hanya 17.2% atau 265 ribu orang sahaja. Relevannya, untuk meneliti kelestarian industri
SBW Melayu di Malaysia penyelidik harus memilih negeri yang mempunyai majoriti
penduduk Melayu paling ramai berbanding dengan kaum lain terutamanya orang Cina
atas sebab yang telah dijelaskan sebelum ini.
Sorotan kajian juga menemui jumlah kaum bumiputera yang terlibat di
dalam industri ini sebanyak 20% di Malaysia (Esme Johari Wahab, 2010) dan di negeri sebelah Pantai Timur seperti Kelantan penglibatan orang
Melayu lebih kurang 30% kerana mempunyai bilangan penduduk yang lebih ramai. Ini
berasaskan andaian sekiranya di negeri yang mempunyai penduduk minoriti kaum
lain pun kedudukan ekonomi orang Melayu tergugat, kemungkinan besar di negeri
ekonomi yang dikuasai oleh kaum lain, orang Melayu akan lebih sukar untuk
bersaing. Hakikat persaingan antara kaum
Melayu dan kaum lain ada dinyatakan di dalam tulisan (Omar, 2006) dan matlamat mengimbangi jurang ini menjadi salah satu matlamat utama
penubuhan Dasar Ekonomi Baru.
d) Pemilihan Kelantan juga berdasarkan
dasar pemilikan tanah di negeri Kelantan yang ketat melindungi orang Melayu
peranakan Kelantan. Akta Kanun Negara
1970, menetapkan hanya orang Melayu peranakan Kelantan sahaja boleh memiliki
Tanah Rizab Melayu di Kelantan (Ordinan Penyelesaian Tanah
Kelantan, 1955). Kesannya, pembinaan RBW di negeri ini atas Tanah Rizab Melayu
kemungkinan besar dimiliki atau dikongsi dengan orang Melayu.
e) Memandangkan tidak terdapat satu
badan autoriti yang boleh memberikan maklumat jumlah RBW orang Melayu secara
tepat (rujuk e-mel daripada Jabatan
Veterinar bertarikh 27 May 2013).
Kaedah alternatif lain digunakan untuk mendapatkan maklumat. Antara lain menegaskan pihak Jabatan Veterinar belum mempunyai satu pusat data yang tepat
tentang jumlah RBW di Malaysia kerana kegagalan pihak pengusaha RBW untuk
mendaftar RBW mereka dengan Jabatan Veterinar.
Oleh itu, kajian akan mendapatkan data-data RBW yang dikumpulkan
berdasarkan jumlah lesen cukai yang dikeluarkan oleh PBT setiap daerah dengan
mengambil model kajian yang telah digunakan oleh Fauzi Mohd Fauzi Haji Yaacob (1981) semasa beliau mengkaji “Peniaga dan
Perniagaan Melayu- Satu Kajian di Kota Baharu”.
Penyelidik juga akan merujuk kepada Persatuan Pedagang Sarang Burung
Walit Kelantan, dan Jabatan Veterinar di setiap daerah yang terlibat untuk
mendapatkan maklumat tentang kajian ini.
3.0 Pernyataan Masalah
Cabaran utama dalam perusahaan BW
ialah untuk mengusahakan RBW yang berhasil dalam masa yang singkat. Menjadi perkara biasa bagi usahawan SBW untuk
menunggu sehingga 3- 5 tahun sebelum mendapat hasil (Barry, 2003).
Mengikut Hendri Mulia seorang pakar konsultan BW dari Indonesia ,
seorang usahawan RBW dianggap berjaya apabila BW telah mendiami RBW lebih
daripada 2 tahun. Menurut (Lim, 2007) RBW kelas super A apabila mempunyai
lebih 15 sarang burung dalam tempoh 6 bulan selepas beroperasi. Laporan Utusan Malaysia di ruangan AgroBiz
pada 26 November 2012 terdapat seramai 4,286 usahawan terlibat dalam industri
pengeluaran SBW yang berdaftar dengan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu
(Perdasama) Muda Malaysia. Daripada
jumlah tersebut dianggarkan hampir 20 peratus terdiri daripada pengusaha Melayu
(Arkib Utusan Malaysia, 2012b).
Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan Jabatan
Perangkaan dan Statistik pada tahun 2010
terdapat 41 buah Persatuan Burung
Walit yang didaftarkan pada tahun 2010 di seluruh negara. Nilai output kasar
yang disumbangkan oleh ahlinya bernilai RM 3.007 juta sebulan dengan nilai
harta tetap yang dimiliki pada akhir tahun bernilai RM 14.216 juta (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2012).
Ini boleh dianggap sebagai satu sumbangan yang besar kepada pendapatan negara
dalam bidang pertanian jika dibandingkan dengan Penternakan dan Pembiakan
Haiwan Peliharaan yang hanya menyumbangkan nilai output kasar bernilai RM 2.763
juta (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2012)
Kos yang tinggi untuk membina RBW,
memerlukan modal antara RM 200 ribu hingga RM 500 ribu bergantung kepada saiz
bangunan yang dibina (Adha Ghazali,
2010) . Modal yang besar dilaburkan
memerlukan pulangan yang sepadan untuk membolehkan usahawan menguruskan sumber
kewangan dan pusingan modal dengan baik.
Ramai usahawan Melayu bermasalah dalam industri BW kerana modal yang
terhad (Esme Johari
Wahab, 2010).
Walaupun, bantuan modal RM 30 ribu yang diperoleh daripada pinjaman AgroBank
tetapi tidak mencukupi untuk membina RBW (Esme Johari
Wahab, 2010).
RBW yang diusahakan pula tidak menjanjikan hasil seperti yang
diharapkan. Ini menjadikan mereka
terperangkap dengan beban hutang dan masalah-masalah lain. Sekiranya mereka membuat pinjaman bank, mereka
akan menghadapi dan risiko kerugian.
Tidak kurang juga ada antara mereka yang kehilangan aset bernilai kerana
pelaburan RBW tidak dapat menjamin hasil yang konsisten.
Cabaran lain yang sering dihadapi oleh
pengusaha walit ialah persoalan ketidaktentuan harga pasaran. Utusan Malaysia
melaporkan harga SBW pernah mencapai harga RM 6,000.00 dan jatuh pada harga RM
2,000 pada akhir tahun 2012 (Arkib Utusan Malaysia, 2012a).
Situasi ini tidak sihat untuk pelaburan industri walit jangka
panjang. Ini dijangkakan akan
menyebabkan satu masalah yang lebih besar kepada usahawan SBW Melayu kerana pasaran utama industri SBW
terhad kepada eksport ke negara China sahaja. Di Thailand untuk mengatasi
masalah ini kempen besar-besaran memperkenalkan sarang burung telah diadakan
untuk menggalakkan pasaran tempatan ("Thailand: Cerebos launches campaign on benefits
eating of bird's nest soup," 2009).
Oleh itu, cabaran yang dihadapi oleh
pengusaha RBW bukan hanya melibatkan persoalan bagaimana mereka perlu memahami
habitat BW sahaja. Perkara yang lebih
penting mereka juga harus bijak menilai dan mengambil tahu isu-isu semasa yang
berlaku dalam industri SBW. Oleh itu,
sebagai seorang usahawan tulen yang berdaya saing dan sukakan kepada cabaran dalam
perniagaan. Persoalan sikap dan personaliti
mengikut teori kemujaraban kendiri wajar menjadi teras utama yang perlu
diteliti sepenuhnya. Ini memungkinkan
kepada penemuan tema-tema baru yang secocok dengan usahawan industri SBW.
4.0 Persoalan Kajian
Tujuh
persoalan kajian adalah seperti berikut;
1. Apakah faktor yang mendorong
usahawan SBW terlibat dalam perusahaan ini?
2. Bagaimanakah usahawan membuat
persiapan mental dan material yang diperlukan sebelum dan selepas terlibat
dalam perniagaan ini?
3. Apakah bentuk-bentuk keyakinan
motivasi yang disandarkan oleh pengusaha untuk terlibat dalam bidang ini?
4. Bagaimanakah reaksi mereka pengusaha
apabila berhadapan cabaran-cabaran dalam perniagaan.
5. Bagaimanakah corak pemikiran yang
diperlukan oleh usahawan SBW untuk terus bertahan dalam bidang perusahaan ini?
6. Apakah kemahiran pengurusan
perusahaan yang membantu usahawan SBW untuk berjaya?
7. Adakah faktor lokasi, dan orang
Melayu memainkan peranan utama dalam menentukan tahap kelestarian usahawan SBW
?
5.0 Objektif Kajian
Tujuh objektif kajian ialah;
1. Melihat sikap, motivasi, keyakinan
dan lain-lain yang merangkumi aspek dalaman dan luaran yang mendorong mereka
terlibat dalam industri SBW.
2. Meneliti persiapan mental dan
material yang perlu ada pada seseorang usahawan SBW.
3. Mengenal pasti motivasi yang telah
disandarkan oleh seseorang usahawan sebelum dan selepas menceburi bidang SBW
4. Menilai reaksi kemujaraban kendiri
usahawan SBW apabila mereka berhadapan dengan cabaran-cabaran keusahawanan.
5. Meneliti secara mendalam bentuk
pemikiran yang ada pada usahawan SBW
6. Mengenal pasti kemahiran yang perlu
ada pada seorang usahawan SBW.
7. Membentuk model kelestarian usahawan
burung walit di kalangan usahawan Melayu.
Mengenal pasti kewajaran pengaruh orang Melayu dan faktor lokasi sebagai
faktor utama yang mempengaruhi keberhasilan dan kelestarian usahawan SBW
6.0 Sorotan kajian
Tema- tema yang akan dibawa dalam
sorotan kajian akan menjurus kepada hasil kajian dan penelitian yang telah
dilakukan oleh penyelidik sebelum ini terhadap fenomena keusahawanan di peringkat dunia, Malaysia dan Kelantan
khasnya. Fenomena bagaimana seorang
usahawan boleh terlibat dalam perniagaan hingga akhirnya berjaya mengasaskan
sebuah tapak perusahaan yang kukuh untuk diwarisi oleh generasi seterusnya
menjadi minat utama kajian ini.
Persoalan sikap dan peranan kemujaraban kendiri usahawan untuk menjamin
kelestarian perusahaan yang telah dibangunkan turut menjadi fokus kajian. Ini merangkumi corak pemikiran dan keputusan
yang diambil apabila berhadapan dengan sesuatu krisis perniagaan. Elemen-elemen luaran yang menjadi sokongan
kepada bidang keusahawanan juga mendapat perhatian pengkaji. Antara elemen luaran menjadi hasil dapatan
pengkaji merupakan faktor pendidikan, bantuan, kewangan, lokasi yang strategik,
polisi atau dasar melingkari bidang yang diusahakan.
Kajian fenomenologi memungkinkan kepada eksplorasi tema-tema
luaran dan dalaman yang diserap oleh mereka khususnya orang Melayu Kelantan
dalam mengerakkan dan membangunkan perusahaan RBW. Tema-tema ini menjadi kunci
kepada kajian ini untuk membuka jalan-jalan situasi dan pengalaman sebenar
usahawan Melayu dan berharap akan menemui keunikan khusus mengikut bidang yang
diceburi. Ini selaras dengan pandangan
yang dihuraikan oleh Thomas dan Cheese (2005) pengalaman merupakan guru terbaik
kepada manusia menerusi bukunya yang bertajuk “Leadership: Experience is the Best Teacher”. Pengalaman merupakan elemen
yang dilalui langsung oleh individu manakala kemujaraban kendiri berkaitan
dengan individu itu sendiri.
Oleh itu, ini memungkinkan elemen pengalaman
dan kemujaraban kendiri dirangkumkan bersama kerana ia melibatkan kajian sikap
keusahawanan dan pengalaman hidup usahawan itu sendiri. Mengikut Drnovsek, Wincent, and Cardon (2010);
“ The
self-efficacy construct is appropriate for the study of entrepreneurship
because of its nature: it is a task-specific construct that includes an
assessment of confident beliefs an individual has about internal (personality)
and external (environment) constraints and possibilities, and it is close to
action and action intentionality (Boyd and Vozikis, 1994). For instance,
Krueger et al. (2000) found self-efficacy to be a good predictor of start-up
intentions”.
Ini merupakan gambaran awal tentang tema-tema
yang mungkin ditemui dalam kajian ini yang menjurus kepada personaliti usahawan,
persekitaran dan peluang yang mencetuskan idea untuk memulakan sesuatu
perniagaan.
Terdapat salah satu
kecenderungan kajian penyelidikan di peringkat dunia pada waktu ini melihat
kelestarian sebagai satu tema persoalan utama kajian. Kajian tentang tema kelestarian usahawan yang
berjaya telah banyak dilakukan oleh pengkaji sebelum ini seperti kajian oleh Strotmann (2007),
Thompson dan Downing (2007),Brazeal, Schenkel dan Azriel (2008),Drnovsek et al. (2010),Schorr (2008), Fail .Sr (2010) dan Kazakov (2012). Kajian Strotmann (2007) yang lebih memberikan
fokus kelestarian usahawan baharu di Baden-Wuerttemberg, Jerman bermula pada
tahun 1981 hingga 1994. Melalui kajian
yang dilakukan beliau mendapati faktor saiz permulaan amat mempengaruhi tahap
kelestarian sesebuah perniagaan. Hasil
pengumpulan data dan pemerhatian beliau mendapati usahawan yang memulakan
perusahaan dengan saiz yang lebih besar akan lebih bertahan atau lestari
berbanding dengan mereka yang melakukan sebaliknya.
Penemuan ini kelihatan
amat rigid dan tidak menyeluruh kerana pencapaian kelestarian usahawan tidak
hanya dipengaruhi oleh faktor material semata-mata. Ini dibuktikan dengan oleh kajian oleh Thompson
dan Downing (2007)
mereka melihat aspek diri usahawan itu sendiri yang mendorong usahawan
ke arah lebih berpotensi berdasarkan kajian yang dilakukan di United
Kingdom. Hasilnya, mereka menyimpulkan
terdapat enam pendorong utama yang mengerakkan usahawan untuk bekerja lebih
tekun antaranya ialah fokus, manfaat, kreativiti, ego dan dedikasi (motivasi),
kerja kumpulan, dan nilai-nilai sosial yang dipegang dalam masyarakat seperti
misi dan sumbang kepada orang lain.
Penemuan ini lebih relevan dan berasas jika dibandingkan dengan kajian
yang dilakukan Strotmann (2007).
Pandangan ini juga selari dengan
Dencker, Gruber dan Shah (2008), Brazeal, Schenkel dan Azriel (2008)
yang turut melihat faktor individu iaitu kelapangan masa, pengalaman dan ilmu
pengetahuan amat mempengaruhi kelestarian sesebuah perniagaan yang
diusahakan. Dalam kata lain, faktor
modal permulaan tidak menjadi faktor utama yang akan mempengaruhi kelestarian
perniagaan.
Manakala kajian oleh
Altinay (2008) pula memberikan
perhatian kepada hubungan usahawan dan budaya keusahawanan di sesebuah
firma. Kajian melibatkan usahawan
minoriti berbangsa Turki di London untuk melihat kaitan antara faktor agama, pendidikan
dan bahasa. Melalui kajian ini, beliau
menyimpulkan terdapat satu hubungan yang kuat antara ketiga-tiga faktor
itu. Hasil kajian beliau antara lain
mendapati mereka yang berpegang kuat kepada agama Islam lebih terarah untuk
menjadikan pengurusan perniagaan mereka lebih konservatif. Dalam erti kata lain, beliau mendapati
usahawan yang berpegang kuat kepada agama akan berhadapan dengan masalah
pengurusan fizikal perniagaan itu sendiri kerana sekatan-sekatan yang terdapat
dalam agama. Kajian oleh Altinay (2008)
merupakan lebih kepada satu perbandingan etnografi dalam bidang keusahawanan
kerana beliau mula melihat kesan etnik, agama, bahasa dan kawasan dan kaitan
kepada perusahaan. Pandangan ini, masih
boleh dipertikaikan kerana konteks yang digunakan hanya melibatkan golongan
minoriti. Tentu sekali hasil yang
diperoleh tidak boleh dijadikan satu justifikasi yang bersifat
generalisasi. Sekiranya kajian ini
dilakukan di negara Turki mungkin hasil sebaliknya akan ditemui. Berdasarkan hasil kajian ini, ia memungkinkan beberapa persoalan lain yang
boleh dilihat dalam kajian berikutnya.
Adakah pengalaman Islam agama di London akan menyekat kemajuan dalam
bidang keusahawanan? Ataupun kajian ini
lebih kepada kajian pertembungan dua budaya melibatkan bahasa, agama, dan etnik
yang berbeza. Neraca pertimbangan yang
dilakukan lebih memihak kepada budaya dominan kerana alat dan method yang
digunakan lebih memihak kepada konteks, masa, dan budaya sekeliling kawasan kajian
dilakukan.
Hasil
sorotan kajian tentang kelestarian usahawan di Malaysia menemui faktor
pembiayaan atau bantuan kewangan memainkan peranan penting seperti dalam kajian
oleh Shahadan dan Berma (2004), Sharil .et al (2008), Moha Asri (1999), Mohd Rosli
(2000) dan Zainal dan Daud (2011).
Melalui kajian oleh Sahaha dan Madeline Berma (2004)
mendapati kelestarian perniagaan terutamanya bumiputera Malaysia
dipengaruhi oleh sumber pembiayaan formal dan tidak formal. Kemampuan membuat pinjaman dipengaruhi oleh
tahap pendidikan yang diterima oleh usahawan.
Ramai pengusaha memilih untuk membuat pinjaman tidak formal kerana
kekurangan maklumat dan pendedahan terhadap sistem bantuan kewangan yang sedia
ada. Manakala bagi usahawan bumiputera,
tahap pendidikan mempengaruhi kecenderungan mereka dalam membuat pinjaman
formal. Semakin tinggi tahap pendidikan
yang diterima, semakin tinggi cenderung untuk membuat pinjaman. Kaum bumiputera banyak bergantung kepada
sumber pinjaman daripada pihak kerajaan.
Dapatan yang hampir sama diperoleh Sharil .et al (2008) dan beliau menjelaskan sumber
pembiayaan tidak formal itu berupa simpanan peribadi dan pinjaman daripada
rakan-rakan. Memetik pandangan oleh Greg
Welch (2007) di dalam Sharil .et al (2008) “ cabaran terbesar bagi usahawan
muda berumur di bawah 30 tahun ialah kurangnya pengalaman dan masih belum cukup
matang”. Mereka berhadapan dengan
masalah besar menyediakan modal. Oleh
itu, Moha Asri (1999) berpendapat peranan pihak kerajaan amat penting dalam
membantu pihak usahawan di Malaysia. Manakala Hashim (2005, pp. 25-27) menyenaraikan lebih daripada 60
agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan di bawah setiap kementerian untuk membantu
perkembangan ekonomi di Malaysia. Ini
turut dijelaskan oleh Chee (1986), Rosli (2000) melaporkan daripada 13 kementerian
lebih daripada 30 agensi yang terlibat dalam membantu perkembangan SMEs dan
angka itu telah meningkat kepada 60 agensi di bawah 18 kementerian telah
diwujudkan. Oleh itu, kenapa masih
timbul isu pembiayaan tidak formal lebih popular berbanding dengan agensi yang
disediakan oleh kerajaan?. Faktor ini
diandaikan juga akan memainkan peranan penting dalam menentukan pertumbuhan
industri SBW bumiputera di Kelantan. Ini memandangkan kos untuk membina sebuah
RBW boleh mencecah RM 80.00
kaki persegi (Damak, 2011).
Ini bermakna untuk membina sebuah RBW berkeluasan 20 kaki ( lebar) x 80
kaki ( panjang ) x 3 tingkat bersamaan RM 384 ribu. Adha Ghazali (2010) pula melaporkan untuk membina RBW
memerlukan modal antara RM 200 ribu hingga RM 500 ribu bergantung kepada saiz
bangunan yang dibina.
Perbincangan
tentang tema kelestarian, cabaran dan masa depan usahawan Melayu boleh di lihat
dalam Omar (2006), Sharil et al (2006), Zainol dan
Daud (2011) serta Ishak, Che Omar dan Ahmad (2012). Bermula dengan pandangan Omar (2006) beliau
menulis pengalaman dan pemerhatian beliau terhadap budaya dan sikap orang
Melayu yang terlibat dalam perniagaan. Beliau
berpandangan masalah penyatuan di kalangan Melayu yang tiada kesudahan
memberikan impak kepada ekonomi mereka.
Kekuatan orang Melayu banyak terletak kepada kelebihan dalam bilangan
yang ramai atau politik. Namun perbezaan
parti dan faham politik membataskan penyatuan mereka. Ini memberikan kesan yang besar kepada
pembangunan ekonomi mereka. Beliau
menyimpulkan budaya fitnah memfitnah yang masih berleluasa menjadikan tahap
ekonomi Melayu terancam dan mereka masih berada di pihak yang kalah. Malah di awal kata pengantar buku beliau
yang ditulis oleh Tun Mathathir (Perdana Menteri Malaysia 1986- 2003)
berpandangan buku yang ditulis oleh Shukor Omar tidak banyak beza dengan pandangan
beliau. Cuma membezakan buku ini lebih
memberikan tumpuan kepada penglibatan orang Melayu dalam dunia perniagaan.
Namun kajian oleh
Sharil .et al (2008) menemui peniaga-peniaga Melayu di pusat membeli belah dan
pasar raya di bandar Melaka berhadapan dengan masalah untuk mengekalkan momentum
perniagaan kerana terdapat banyak “red tape” atau halangan dalam mendapatkan
bantuan. Jika dibandingkan dengan
peniaga bukan Melayu. Kegiatan orang
ekonomi orang Melayu masih memerlukan sokongan dan bantuan daripada pihak
kerajaan. Kajian oleh Zainol dan Daud (
2011) pula memberikan maklumat secara angka tentang pertumbuhan ekonomi orang
Melayu di bawah Dasar Eknomi Baru (
1970-1990) Dasar Pembangunan Nasional (1990-2000). Hasil pencapaian hanya 20.3% berbanding
dengan sasaran 30 %. Ini masih jauh
ketinggalan jika dibandingkan dengan pencapaian etnik bukan Melayu (terutamanya
orang Cina) yang meningkat daripada 32.3%
pada tahun 1970 kepada 46.2% pada tahun 1995 (Rancangan Malaysia
Ketujuh. 1996). Ini juga menunjukkan
satu bentuk hubungan yang tidak konsisten antara kewujudan agensi pembiayaan
dengan pencapaian ekonomi di kalangan orang Melayu berbanding orang bukan Melayu.
Persoalan ilmu
pengetahuan amat penting dalam bidang keusahawanan. Ini ditemui dalam kajian yang dilakukan oleh
Shahadan dan Berma (2004), Rose. et al (2006), Abdul Kadir dan Rosli
(2011), Ramayah et al (2012) serta Al- Madhaoun dan Analoui (2003). Mereka sependapat pendidikan dan ilmu
pengetahuan mempengaruhi bentuk pengurusan sesebuah perniagaan. Pendidikan juga akan mempengaruhi kesedaran
tentang membuat pinjaman daripada agensi kerajaan (Shahadan & Berma
2004). Kepentingan ilmu pengetahuan, pendidikan,
kemahiran juga muncul dalam kajian oleh Altinay (2008), Fail. Sr (2010), dan
Schorr (2008) yang dilakukan di negara lain.
Ini menunjukkan satu tema yang universal dan tidak menjurus kepada
konteks negara tertentu sahaja. Cuma
dalam kajian Rose. et al (2006) mereka menambah faktor pengalaman bekerja dan
bimbingan keluarga turut menjadi faktor penting dalam menentukan kelestarian
perniagaan. Kajian oleh Ramayah et al (2012) telah menjelaskan ilmu pengetahuan atau
pendidikan mempengaruhi niat, kerjaya dan mendorong usahawan untuk
berjaya. Kajian ini berbentuk khusus
kerana responden yang kaji melibatkan golongan usahawan di kalangan alumni
Universiti Sains Malaysia. Begitu juga
kajian oleh Ishak et al (2012) menegaskan pengetahuan yang mendalam dan khusus
dalam bidang yang diceburi mempengaruhi tahap kelestarian sesebuah perusahaan.
Tema kemujaraban
kendiri dilihat muncul dalam kajian yang dilakukan oleh Rose, Kumar dan Yen
(2006), Ainin et al (2010), Alam, Jani, dan Omar (2011), Ramayah et. al (2012)
dan Ishak et al (2012). Persoalan
tentang sikap, personaliti, individu, motivasi, niat, cekal, mengambil risiko,
tingkah laku yang khusus (Ramayah et al,2012) dilihat menjadi faktor yang kuat
mempengaruhi sesebuah perniagaan untuk berjaya.
Ini merangkumi ilmu pengurusan ( Abdul Kadir & Rosli 2011);(Ishak et al , 2012), kompetensi usahawan dan pengalaman bekerja
(Rose . et al ,2006). Manakala Alam et
al (2011) menyatakan faktor kejayaan usahawanita banyak bergantung pada
sokongan keluarga, motivasi dalaman yang diterima. Tema yang muncul ini dilihat menjadi
persoalan asas yang akan dibincangkan di bawah perbincangan analisis
kemujaraban kendiri usahawan burung walit di Kelantan nanti.
Ringkasnya tema-tema
yang muncul daripada sorotan kajian ini akan dijadikan asas untuk meneliti
kelestarian usahawan Melayu dalam industri burung walit. Persoalan secara umumnya boleh dilihat
merangkumi dua aspek utama iaitu elemen individu yang dirangsang oleh
pengalaman dan pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal. Dimantapkan oleh kemampuan untuk memulakan
perniagaan dengan bantuan secara formal atau tidak formal. Kedua elemen pendidikan dan pembiayaan akan
merangsang kemujaraban kendiri yang akan melahirkan niat dan motivasi yang
seterusnya akan memungkinkan kepada kelestarian perniagaan yang diusahakan.
7.0 Kerangka Kajian
Kajian bersifat eksplorasi feomenologi (Edmund Husserl,1906) untuk mencari tema-tema
penting yang boleh angkat sebagai satu kerangka utama untuk pembentukan
kelestarian usahawan burung walit Melayu di Kelantan. Kajian mendalami fenomena usahawan burung
walit Melayu bermula dengan teori kemujaraban kendiri (Bandura, 1977).
Bertitik tolak daripada usahawan itu sendiri yang terdedah kepada ilmu
pengetahuan sama diperoleh melalui pendidikan atau pun pengalaman
peribadi. Berdasarkan Rajah 3 dapat
dihuraikan tema-tema yang mungkin dijumpai dalam kajian ini nanti. Ilmu pengetahuan akan memainkan peranan
penting dalam usaha untuk menentukan permulaan perniagaan sama ada melalui
pinjaman secara formal atau tidak formal.
Elemen modal memainkan peranan penting yang merangsang kemujaraban
kendiri untuk mencetuskan motivasi dan mengekalkan niat. Dalam
erti kata lain kemujaraban kendiri mula bereaksi dengan persekitaran
luaran dan dalaman terhadap industri SBW menyebabkan mereka terlibat dalam
industri ini. Dengan dorongan motivasi
dan niat usahawan mampu untuk mewujudkan kelestarian dalam perniagaan yang
mereka usahakan.
Selain itu mungkin terdapat reaksi dalaman berpunca
daripada dalam diri mereka sendiri seperti personaliti, sikap, pemikiran, dan
lain-lain yang memerlukan penerokaan lanjut di kalangan usahawan SBW. Reaksi luaran mungkin aspek makro yang berkaitan
dengan industri SBW secara langsung seperti isu harga, polisi, persaingan,
perubahan keadaan semasa, habitat RBW. Akhirnya
kajian mungkin akan mampu menunjukkan satu model usahawan SBW Melayu Kelantan
yang berjaya mengikut tema-tema kemujaraban kendiri yang ada pada usahawan
burung walit pada waktu ini.
8.0
Jangkaan Hasil Kajian
Penelitian menjangkakan faktor
perusahaan SBW Melayu di Kelantan didorong oleh kemampuan usahawan untuk
merebut peluang yang tersedia. Faktor
kewangan dan pembiayaan memainkan peranan penting yang melibatkan bantuan
daripada pihak kerajaan ataupun sumber dalaman.
Usahawan yang mempunyai kemujaraban kendiri dijangkakan akan mampu
bersaing dan bertahan dalam industri SBW.
Kajian juga menjangkakan kejayaan usahawan SBW banyak bergantung
didorong oleh faktor lokasi. Manakala
industri SBW bersifat perniagaan sampingan atau sokongan. Maksudnya, usahawan sudah mempunyai sumber
pendapatan lain secara tetap atapun sudah berkerjaya. Industri SBW dianggap sebagai bonus atau
simpanan hari tua mereka.
Rajah
1: Kerangka Kajian
9.0
penutup
Berdasarkan aspek-aspek kajian yang telah
dihuraikan sebelum ini. Kajian mendapati
terdapat satu keperluan penting untuk melihat aspek kemujaraban kendiri pada
diri seorang usahawan SBW. Kajian ini
diharap boleh memberikan satu gambaran yang lebih tepat tentang tema-tema
kelestarian keusahawanan SBW Melayu di Kelantan. Penelitian ini merupakan percubaan awal untuk
memahami industri SBW dalam konteks ilmu keusahawanan. Diharapkan kajian ini akan membuka jalan
kepada idea dan kajian-kajian yang lebih bermanfaat pada masa hadapan.
Rujukan
Barry, W. (2003). In Thai Real Estate, Adding Wings Proves
Enormously Profitable --- To Cultivate a Tasty Nest, All Sorts of Buildings
Double as Birdhouses, Wall Street
Journal, pp. 0-A.1. Retrieved from http://search.proquest.com/docview/398831553?accountid=51152
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2010, Tuesday, 21 May 2013).
Population. Retrieved 22/05/2013, 2013,
from http://www.statistics.gov.my/portal/download_Population/files/population/03ringkasan_kawasan_PBT_Jadual1.pdf
Lembaga Hasil Dalam Negeri. (2012). Kadar Cukai
Pendapatan. Retrieved 29/5/2013, from
Lembaga Hasil Dalam Negeri http://www.hasil.gov.my/goindex.php?kump=5&skum=1&posi=2&unit=5000&sequ=11
Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka.
(2009). Retrieved 4/6/2013, 2013, from http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=efficacy&d=10
Schorr, F. (2008). Becoming
a Successful Entrepreneur : A Phenomenological Study. (3326847 Ph.D.),
Alliant International University, San Francisco Bay, Ann Arbor. Retrieved from http://search.proquest.com/docview/304822389?accountid=51152 ProQuest
Dissertations & Theses Full Text; ProQuest Entrepreneurship database.
Thailand: Cerebos launches campaign on benefits eating of
bird's nest soup. (2009). Asia News
Monitor. Retrieved from http://search.proquest.com/docview/1238205332?accountid=51152
Subscribe to:
Posts (Atom)