Pengalaman Banjir Gelombang Pertama di
Rantau Panjang dan Keroh ( Kuala Krai)
Bismillah .. Dengan Nama Allah.
Allah hu akbar, Allah hu akbar, Allah hu
akbar
Saya mulakan
catatan banjir di Kelantan bermula 23 Disember hingga 29 Disember 2014. Bagaimana hendak saya mulakan. Saya termenung
seketika sama ada saya perlu menulis secara kronologi atau saya mulakan kami
sekeluarga selamat. Apakah pengalaman
yang telah kami lalui?. Sesungguhnya ini
semua satu ujian bagi kami Rakyat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya. Dan ia mengingatkan saya tentang filem Noah
yang tonton tempoh hari. Banjir datang
dengan keadaan tidak terjangka dan luar biasa.
Mungkin saya
boleh mulakan dengan bagaimana saya boleh terlibat dengan pasukan MERCY. Penglibatan saya di dalam pasukan MERCY
bermula dengan saya mengambil lesen radio amatur. Saya telah menjadi ahli persatuan ResK (
Rescue Kelantan ) Persatuan Radio Komunikasi dan Penyelamat Kelantan pada tahun
2013 dengan memegang Call Sign 9w2DSW (
Nine Whiskey Two Delta Siera Whiskey) .
ResK menggunakan moto “Sahabat Setia dan Membantu”.
Sebelum saya
ceritakan tentang banjir. Suka saya jelaskan banjir di Kelantan datang dengan
dua gelombang. Gelombang pertama “banjir air hujan” Dan banjir kedua banjir air
sungai hulu. Ketika banjir hujan kawasan terjejas teruk ialah kawasan rendah
seperti Rantau Panjang, Pasir Mas. Dan
kawasan berhampiran dengan sungai –sungai utama. Ini berlaku dari 20 hingga 23 /12 /2014.
Manakala gelombang kedua melanda pada 24 hingga 29 Disember 2014. Gelombang kedua ini melibatkan semua kawasan
di pinggir sungai Kelantan dan hampir semua daerah terjejas dengan banjir air
hulu ini. Orang tua berkata bah ini
lebih besar daripada bah merah 1967.
Semasa pergi melawat Emak saya
beliau berkata seumur hidupnya ini lah kali pertama bah yang paling besar
pernah dilalui. Pengalaman bah pertama
semasa emak berada di Kg Gesing Pahang.
Ketika banjir
gelombang pertam saya sempat ke Aring
dan Perasu kerana ada urusan penting di sana. Pada waktu ini banjir sedang melanda
Rantau Panjang. Bandar Rantau Panjang
hampir tenggelam dan lebih kurang 70 %
bandar ini tenggelam air. Dan
ketika ke Gua Musang (Aring dan Perasu)kami tersekat di dua kawasan.
Tetapi pada waktu ini saya menggunakan kenderaan 4x4 , tayar lipan, dan telah
ditinggikan saya berjaya harungi limpahan air di atas jalan Machang, Pasir
Gajah, dan Batu Jong. Pertama saya tersekat di Tanah Merah, apabila melalui
kawasan kampung belakang masjid.
Dan kedua apabila saya melalui kg Pangkal Meleret. Saya cub melalui jalan pintas di bawah
jambatan tetapi air laju dan jalan sempit.
Oleh itu saya membuat cubaan untuk pergi ke jalan lama Machang, tetapi
air sangat dalam. Dan akhirnya saya memasuki high way semula tetapi tersangkut
pada deretan kenderaan di flyover kerana air sudah melimpah jalan raya dan arus
kuat. Ada beberapa buah kenderaan telah tersadai di sana. Kenderaan 4x4 membolehkan saya, meredah air. Dan
alhamdulillah saya berjaya sampai di Aring dan Perasu. Dan untuk makluman pada
waktu ini Pasir Mas masih lagi selamat hanya beberapa kawasan rendah sahaja
terjejas
Apabila pulang
daripada Aring dan Perasu. Saya sempat
pergi berjumpa kawan-kawan rakan ham (Rakan Radio) di RDD café. RDD café ialah singkatan kepada “repeater
ResK” yang menggunakan call sign 9M4RDD (Nine Mike Four Remo Delta-Delta). Di sini saya mendapat maklumat terdapat
rombongan MERCY daripada KL memerlukan bantuan untuk tunjuk arah dan logistik
untuk menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di kawasan Pasir Mas (untuk
makluman Rantau Panjang masih di kawasan jajahan pasir Mas, kerana ramai yang
keliru Rantau Panjang sebagai sebuah bandar, walaupun ia hanya satu pekan
kecil). Pada hari pertama bantuan dengan
pihak MERCY saya terlepas kerana pada waktu ini masih dalam perjalanan pulang
daripada Gua Musang dan hanya sampai pada jam 12 tengah hari. Dan pada hari yang sama pasukan ResK telah
berusaha menghantar misi bantuan makanan di kawasan rendah di pasir mas
melibatkan 17 kenderaan pacuan 4 roda seperti di Sek Bankong, Sek Banggor, SMK
Kedai Tanjung, Jeram Perdah dan beberapa ke kawasan pusat pemindahan di kawasan ini.
Pada keesokan
harinya iaitu 24/12/2014 Saya mula terlibat dengan pasukan MERCY sebagai
pembantu tunjuk arah ke lokasi di kawasan Pasir Mas. Hari pertama saya terlibat dengan Mercy. Kami telah pergi menghantar bantuan makanan seperti beras, sardin, gula, minyak, teh, kopi ,
biskut, dan lain-lain barang keperluan asas ke Taman Rantau Mas , Rantau
panjang yang hanya boleh dimasuki dengan pacuan 4 roda yang tinggi enjin
diesel. (Rujuk Gambar )Saya mendapat
maklumat sehari sebelumnya sudah terdapat 6 buah teller panjang bantuan
daripada kerajaan pusat telah sampai membawa bekalan tilam, bantal. Seterusnya saya terlibat menghantar bantuan
ke Kampung Seberang Merbau, Sek Bongor di kawasan berhampiran dengan Sungai Golok. Untuk memasuki kawasan ini kami terpaksa menggunakan
bot dan bot enjin sangkut yang kami bawa tidak dapat digunakan sepenuhnya
kerana kipas tersangkut pada rumput. Untuk makluman , kami menggunakan dua buah
bot, dan dua kali kami menghantar
bantuan ke kawasan ini. Cubaan pertama menggunakan” air boat” ( Hasil ciptaan
9W2NJT) Pak Nojib, tetapi “Air boat” bocor kerana terlanggar pili bomba. Oleh sebab itu, hanya sebuah bot yang bawa
bekalan makanan sampai dan saya berada di dalam boat itu, pada waktu ini hujan
lebat dan kami semua kebasahan. Hanya
bot enjin galah sahaja yang selamat digunakan. Ini kerana bentuk sampan yang lebih tirus membolehkan
bot galah menyelit di celah-celah kebun getah.
Pemandangan di kawasan kampung Bangor umpama terperangkap di sebuah
pulau. Dan mengikut bantuan pengerusi
KRT kg tersebut En Tahar pada malam pertama air naik. Hampir 460 orang penduduk
terpaksa berasak-asak di dalam dua bilik sekolah yang kecil dan mereka tidak tidur dan ada yang
tertidur dalam keadaan berdiri.
Alhamdulillah
bantuan kami sampai pada hari kedua dan ketiga.
Pada rombongan bantuan kali kedua kami membawa bantuan yang lebih banyak
dan sudah ada penduduk yang pulang ke rumah untuk membersihkan rumah. Air hujan ini cepat surut dan pada kali ini
hanya tinggal 70 orang di pusat pemindahan.
Penduduk di kg Bongor sebenarnya sudah biasa ditenggelami banjir dan
hampir 80% rumah ada sampan Cuma banjir kali ini amat luar biasa dan mereka tiada
bersedia untuk banjir yang sebegini besar.
Ada maklumat mengatakan banjir ini hasil limpahan air empangan Shukirin
yang dilepaskan untuk mengelakkan empangan pecah. Saya tak pasti
Sedang kami
menguruskan bantuan banjir di kawasan pasir Mas yang terjejas teruk kerana
banjir air hujan, dan limpahan sungai.
Kami di kejutkan dengan berita banjir melanda Gua Musang dan Kuala
Krai. Kami menerima mesej daripada pihak
berkuasa untuk misi menghantar bantuan makanan di kawasan Keroh, Kuala krai.
Pengalaman memantau
berita-berita banjir melalui radio amatur satu pengalaman baru bagi saya. Di
kawasan –kawasan yang terjejas seperti
Dabong, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang terputus bekalan elektrik, telefon habis bateri dan mereka terperangkap. Hanya
Radio Amtur sahaja medium berhubung dan Alhamdulillah saya ada kemudahan
itu. Satu berita yang saya terima daripada Dabong
melalui salah seorang ahli rakan ham Kak Nah dengan menggunakan kuasa bateri
meminta pertolongan bantuan makanan untuk seramai 65 orang di kawasan Jelawang
yang sudah 2 hari terputus makanan mereka berpindah di bangunan Kesedar
Jelawang berhampiran masjid. Kami
berusaha menyalurkan maklumat ini kepada pihak berkuasa. Terdapat dua pasukan yang perlu di jelaskan .
Bagi misi menyelamat ialah ATM, Polis, Bomba dan JPAM. Manakala MERCY adalah
sebuah NGO yang terlibat untuk misi menghantar makanan dan bantuan medik serta
kemanusiaan.
Seterusnya, tidak
lama selepas itu, kami mendapat maklumat daripada seorang rakan ham di kuala
krai yang memaklumkan terdapat mangsa pemindahan di Sek Kebangsaan Bedal
seramai 1052 orang yang sudah 2 hari terputus makanan. Saya mendengar dengan
hati yang sayu tidak menjangkakan banjir di hulu lebih hebat.
Setelah mendapat
pengesahan dan kebenaran daripada pihak berkuasa pasukan kami berusaha untuk
menghantar makanan di Sek Bedal Kuala Krai.
Perjalanan ini melalui satu trip yang lebih mencabar daripada bantuan di
Sek Bongor. Kami membawa bekalan-bekalan makanan asas bersama peralatan seperti 2 buah boat
dan 6 buah kenderaan pacuan 4 roda. Untuk ke Sek Bedal kami terpaksa memilih ke
Rantau Panjang, kerana lebuh raya Pasir Mas ke Tanah Merah telah terjejas,
bandar baharu Tanah Merah hampir lumpuh dan tenggelam air. Kami melalui jalan Bukit Tandak, melalui Kemahang
dan terus keluar di jalan Tanah Merah Jeli.
Perjalanan kami ke Machang ini terganggu kerana air mula naik di simpang
empat Tanah Merah Kusial dan paling menyedihkan ada kenderaan yang tinggalkan
di tengah jalan semata-mata untuk bermain air, ia umpama pesta main air banjir
sedangkan ada nyawa yang perlu diselamatkan.
Pada waktu ini air telah naik dengan cepat dan beberapa buah rumah telah
tenggelam di sepanjang jalan. Ketika
melalui jalan ini, saya mula teringatkan keluarga saya di Pasir Mas. Macam mana sekiranya banjir ini sampai ke
kawasan saya di Lubuk Jong. Saya terus menaip whatassp kepada isteri saya
mengarahkan supaya beli, lilin, bekalan makanan ekstra, dan berpindah ke Masjid
Lubuk Jong di tingkat dua jika perlu berpindah (walaupun tingkat 2 belum siap
sepenuhnya). Pada waktu ini saya lihat kawasan bandar baharu di Tanah Merah
tenggelam. Aras air di Putera Velly
melimpah hingga ke tingkat 4 kerana berada di kawasan rendah. Rumah-rumah yang besar, indah, gah cantik,
tenggelam di kawasan Pusat Pemulihan Akhlak. Maka terdetik di hati saya. “
apakah ini semua?”, apakah hikmah dan pengajaran di sebalik ini semua?. Saya kaku dan mula datang satu gambaran di
dalam filem Noah yang saya tonton sebelum ini.
Ahhh besar sungguh imaginasi saya.
Setelah melalui
perjalanan hampir 3 jam kami sampai di Keroh Kuala Krai. Pada waktu ini.
Pasukan Askar, Bomba, Polis telah sampai.
Sejurus sampai, kami terus loading barang-barang ke dalam boat dan
hendak ke Sek Bedal. Pada waktu itu jam
hampir 7 malam. Sebelum bertolak ke
lokasi saya sempat mencadangkan kepada presiden ResK Abang Ji supaya membawa
bersama seorang penduduk tempatan sebagai penunjuk arah agar kami tidak sesat
dan tersangkut. Lupa untuk saya
maklumkan pada waktu ini air banjir
paras tiang elektrik. Bot kami melalui
air yang deras dan menyusul melalui wire elektrik. Walaupun difahamkan elektrik telah dipotong
tetapi kami tetap berhati-hati. Untuk
sampai ke Sek Bedal kami menaiki bot lebih kurang 45 minit kerana kami
menggunakan bot laju yang besar milik ResK kerana ini sahaja yang ada. Kelemahan bot laju “speed boat” ia mesti dipandu laju untuk memudahkan kawalan dan
digunakan di kawasan luas. Sebaliknya
dalam operasi ini kami terpaksa melalui celah-celah bumbung rumah, tiang
elektrik, pokok getah dan hujung pucuk pokok yang tinggi dan bot tidak boleh
dipandu laju. Apa sahaja boleh berlaku walaupun
kami memakai jaket keselamatan. Saya
mendapat pengalaman baharu pemandu boat akan ada masalah apabila kita membuka
lampu kerana pantulan air menjadi pemandu bot silau. Beliau mengarahkan saya
menutup lampu dan hanya buka bila perlu. Dengan muatan yang banyak dan boat
yang dipandu secara perlahan menjadikan keadaan boat terhuyung hayang. Alhamdulillah kami berjaya sampai dengan
selamat. Terima kasih kepada Mat seorang
pemuda tempatan yang sudi menjadi penunjuk arah. Beliau boleh memberitahu di mana ada besi, di
mana ada kereta tenggelam, lembu mati, besi tajam dan halangan-halangan sepanjang
perjalanan menaiki boat dalam gelap dan membolehkan selamat sampai ke
destinasi. Semasa perjalanan menggunakan
boat saya ada melihat sebuah truck tentera juga terperangkap di dalam air
mungkin kerana silap menjangkakan kedalaman air di atas jalan.
Ketika di dalam
boat tablet Andriod saya melaungkan azan Maghrib. Saya pun niat jamak takhir. Apabila sampai di kawasan Sek Bedal. Kami
dapat maklumat mereka sudah 2 hari berlapar , tidak cukup makanan dan mereka
dengan sedih memberitahu kami terpaksa memecahkan stor koperasi sekolah untuk
mencari apa –apa yang boleh dimakan dan keutamaan diberikan kepada kanak-kanak.
Apabila kami
sampai, baru kami tahu rupa-rupanya ada dua buah sekolah di sana , pertama
sekolah Agama ( Arab) yang menempatkan lebih kurang 80 orang mangsa (Gambar).
Dan Sek Bedal. Maklumat yang kami dapat hanya ada sebuah
pusat pemindahan banjir. Kami tidak
mampu membuat apa-apa dan kami juga turut melawat mereka walaupun rasa sedikit
bersalah kerana masuk ke Sekolah Arab tadi dengan tangan kosong kerana semua
makanan telah diserahkan kepada Sek Bedal.
Tapi kami berfikiran positif
setidak-tidaknya lawatan kami boleh menyampaikan mesej bahawa penderitaan
mereka mendapat perhatian. Dan pihak
Mercy lebih memberikan fokus untuk menghantar makanan kepada pusat pemindahan
bukan secara individu.
Semasa di Sek Bedal,
saya dapat melihat betapa tinggi nilai
budi penduduk masyarakat Melayu Kelantan di sini dalam mereka menzahirkan nilai terima
kasih mereka. Walaupun tidak cukup makanan, tetapi mereka masih menghormati
tetamu dan tidak kedekut untuk menghidangkan kami dengan roti goreng dan air
secara ala kadar. Saya malu dengan budi
itu dan saya menolak hidangan itu kerana saya fikir mereka lebih memerlukan
kerana rombongan kami datang untuk membantu. Dan mereka bersungguh-sungguh dan
hampir memaksa saya menjamah roti tersebut.
Tetapi saya tidak sampai hati untuk menjamah roti itu bukan kerana tidak
sedap tetapi saya fikir masih ramai anak-anak kecil yang lapar pada waktu itu.
Alhamdulillah
misi menghantar makanan berjaya dan kami merupakan pasukan pertama sampai ke
sana. Semasa kami hendak ke boat . Kami
dapat maklumat ada kematian. Seorang
warga emas meninggal kerana sakit tua.
Timbul persoalan di benak saya. Bagaimana mereka hendak uruskan jenazah. Air masih belum surut, perhubungan terputus
elektrik pun tiada. Saya mendapat
maklumat ramai penduduk lari ke bukit untuk menyelamatkan diri. Dan pihak
Tentera mengagihkan bantuan makanan melalui udara.
Kami terpaksa
bergegas pulang kerana pada bimbing air melimpah ke jalan di Tanah Merah dan kami
akan terperangkap. Apabila sampai di
bandar Machang, saya cuba menelefon isteri saya berkali-kali namun tidak
masuk. Whatassap family group juga terputus
hati mula sedikit runsing. Dan saya
berdoa agar semuanya selamat sebelum saya tertidur di dalam perjalanan kerana
keletihan. Terima kasih kepada Hj Nasir
yang pakar memandu kenderaan 4x4. Alhamdulillah kami sampai di Pasir Mas jam 12
malam. Pada waktu itu, repeater kami tiada bekalan elektrik dan kami sampai
dalam keadaan Jajahan Pasir Mas bergelap.
Alhamdulillah, repeater kami boleh beroperasi dengan kuasa bateri. Setelah mendapat bekalan kuasa kami boleh
berhubung semula.
Alhamdulillah
saya selamat sampai ke rumah pada 25/12/2014 dan Pasir Mas masih belum dinaiki
air, jalan masih kering kontang. Saya
menceritakan pengalaman saya kepada isteri saya dan dia faham betapa serius
banjir kali ini. Esoknya saya ceritakan
kepada jiran saya. Banjir kali ini amat
luar biasa. Dan dengan selamba dia berkata.. ”kawasan kita air tidak sampai kalau ikut pengalaman lepas”. Saya cuba meyakinkan berkali-kali.. tetapi
beliau masih mengulangi perkataan yang sama. Saya pun “diam”.
Insyallah nanti
, kalau ada kelapangan malam nanti saya akan tuliskan pengalaman bagaimana
PASIR MAS lumpuh sepenuhnya dilanda banjir gelombang kedua. Nak kemaskan rumah dahulu.- Wan Damak (
9W2DSW)- Terima Kasih.
Hubungi Damak di talian 017-978 4268 whatassp/ Telegram. untuk maklumat lanjut.Atau email ke waletgroup@gmail.com. Pilihan ditangan Anda..
No comments:
Post a Comment