As salam..
Alhamdulillah.. harga SBW semasa semakin baik. Dan itu berita baiknya tetapi disatu aspek lain berita yang kurang enak kita dengar ialah. Harga SBW naik kerana nilai mata wang kita semakin mengucup. Damak mendapat maklumat daripada ahli group whatassp . Sekarang berlaku kebanjiran pembeli daripada negara Thai datang membeli SBW dinegara kita dengan menawarkan harga yang lebih tinggi kerana Thai Bhat yang semakin tinggi.
Rupa-rupanya harga SBW dapat memegang nilai benar dan kerana faktor itu harga sebenarnya tidak berubah.
Maka timbul beberapa persoalan yang sering datang dalam minda pengusaha. Bagaimana kita hendak menjadikan RBW kita lebih berjaya
Hasil penelitian dan pengalaman Damak. Rumusan berikut dapat dilakukan
1. Pemilihan lokasi
2. Sumber makanan BW
3. Peniruan habiat BW
4. Suara
5. Ancaman Musuh
6.. Aroma.
Dan faktor terbersar ialah lokasi....
Dimana kita hendak membina RBW..
" Petuanya.. pilihan Tanah tempat ada burung dan bukannya tempat anda ada Tanah".. mudahan usaha kita berhasil.
Hubungi Damak di talian 017-978 4268 whatassp/ Telegram. untuk maklumat lanjut.Atau email ke waletgroup@gmail.com. Pilihan ditangan Anda..
Monday, 10 August 2015
Thursday, 6 August 2015
The Importance of Technical Knowledge in Sustainability of Malay Bird’s Nest Industry in Malaysia
As. salam
Damak ingin kongsikan sebuah artikel yang telah disiarkan di JEBS.
Boleh Klik Klik disini untuk Download
Konsep Asas Kajian.. Industri SBW di Malaysia
As salam
baca Latar Belakang Kajian Damak tentang Burung Walit.. Terima kasih
Sila Rujuk...
.http://www.rassweb.com/wp-content/uploads/PDF/IJMS/Vol-5/Issue-4/Paper%202.pdf
baca Latar Belakang Kajian Damak tentang Burung Walit.. Terima kasih
Sila Rujuk...
.http://www.rassweb.com/wp-content/uploads/PDF/IJMS/Vol-5/Issue-4/Paper%202.pdf
Thursday, 1 January 2015
Pengalaman Banjir Gelombang Pertama
Pengalaman Banjir Gelombang Pertama di
Rantau Panjang dan Keroh ( Kuala Krai)
Bismillah .. Dengan Nama Allah.
Allah hu akbar, Allah hu akbar, Allah hu
akbar
Saya mulakan
catatan banjir di Kelantan bermula 23 Disember hingga 29 Disember 2014. Bagaimana hendak saya mulakan. Saya termenung
seketika sama ada saya perlu menulis secara kronologi atau saya mulakan kami
sekeluarga selamat. Apakah pengalaman
yang telah kami lalui?. Sesungguhnya ini
semua satu ujian bagi kami Rakyat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya. Dan ia mengingatkan saya tentang filem Noah
yang tonton tempoh hari. Banjir datang
dengan keadaan tidak terjangka dan luar biasa.
Mungkin saya
boleh mulakan dengan bagaimana saya boleh terlibat dengan pasukan MERCY. Penglibatan saya di dalam pasukan MERCY
bermula dengan saya mengambil lesen radio amatur. Saya telah menjadi ahli persatuan ResK (
Rescue Kelantan ) Persatuan Radio Komunikasi dan Penyelamat Kelantan pada tahun
2013 dengan memegang Call Sign 9w2DSW (
Nine Whiskey Two Delta Siera Whiskey) .
ResK menggunakan moto “Sahabat Setia dan Membantu”.
Sebelum saya
ceritakan tentang banjir. Suka saya jelaskan banjir di Kelantan datang dengan
dua gelombang. Gelombang pertama “banjir air hujan” Dan banjir kedua banjir air
sungai hulu. Ketika banjir hujan kawasan terjejas teruk ialah kawasan rendah
seperti Rantau Panjang, Pasir Mas. Dan
kawasan berhampiran dengan sungai –sungai utama. Ini berlaku dari 20 hingga 23 /12 /2014.
Manakala gelombang kedua melanda pada 24 hingga 29 Disember 2014. Gelombang kedua ini melibatkan semua kawasan
di pinggir sungai Kelantan dan hampir semua daerah terjejas dengan banjir air
hulu ini. Orang tua berkata bah ini
lebih besar daripada bah merah 1967.
Semasa pergi melawat Emak saya
beliau berkata seumur hidupnya ini lah kali pertama bah yang paling besar
pernah dilalui. Pengalaman bah pertama
semasa emak berada di Kg Gesing Pahang.
Ketika banjir
gelombang pertam saya sempat ke Aring
dan Perasu kerana ada urusan penting di sana. Pada waktu ini banjir sedang melanda
Rantau Panjang. Bandar Rantau Panjang
hampir tenggelam dan lebih kurang 70 %
bandar ini tenggelam air. Dan
ketika ke Gua Musang (Aring dan Perasu)kami tersekat di dua kawasan.
Tetapi pada waktu ini saya menggunakan kenderaan 4x4 , tayar lipan, dan telah
ditinggikan saya berjaya harungi limpahan air di atas jalan Machang, Pasir
Gajah, dan Batu Jong. Pertama saya tersekat di Tanah Merah, apabila melalui
kawasan kampung belakang masjid.
Dan kedua apabila saya melalui kg Pangkal Meleret. Saya cub melalui jalan pintas di bawah
jambatan tetapi air laju dan jalan sempit.
Oleh itu saya membuat cubaan untuk pergi ke jalan lama Machang, tetapi
air sangat dalam. Dan akhirnya saya memasuki high way semula tetapi tersangkut
pada deretan kenderaan di flyover kerana air sudah melimpah jalan raya dan arus
kuat. Ada beberapa buah kenderaan telah tersadai di sana. Kenderaan 4x4 membolehkan saya, meredah air. Dan
alhamdulillah saya berjaya sampai di Aring dan Perasu. Dan untuk makluman pada
waktu ini Pasir Mas masih lagi selamat hanya beberapa kawasan rendah sahaja
terjejas
Apabila pulang
daripada Aring dan Perasu. Saya sempat
pergi berjumpa kawan-kawan rakan ham (Rakan Radio) di RDD café. RDD café ialah singkatan kepada “repeater
ResK” yang menggunakan call sign 9M4RDD (Nine Mike Four Remo Delta-Delta). Di sini saya mendapat maklumat terdapat
rombongan MERCY daripada KL memerlukan bantuan untuk tunjuk arah dan logistik
untuk menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir di kawasan Pasir Mas (untuk
makluman Rantau Panjang masih di kawasan jajahan pasir Mas, kerana ramai yang
keliru Rantau Panjang sebagai sebuah bandar, walaupun ia hanya satu pekan
kecil). Pada hari pertama bantuan dengan
pihak MERCY saya terlepas kerana pada waktu ini masih dalam perjalanan pulang
daripada Gua Musang dan hanya sampai pada jam 12 tengah hari. Dan pada hari yang sama pasukan ResK telah
berusaha menghantar misi bantuan makanan di kawasan rendah di pasir mas
melibatkan 17 kenderaan pacuan 4 roda seperti di Sek Bankong, Sek Banggor, SMK
Kedai Tanjung, Jeram Perdah dan beberapa ke kawasan pusat pemindahan di kawasan ini.
Pada keesokan
harinya iaitu 24/12/2014 Saya mula terlibat dengan pasukan MERCY sebagai
pembantu tunjuk arah ke lokasi di kawasan Pasir Mas. Hari pertama saya terlibat dengan Mercy. Kami telah pergi menghantar bantuan makanan seperti beras, sardin, gula, minyak, teh, kopi ,
biskut, dan lain-lain barang keperluan asas ke Taman Rantau Mas , Rantau
panjang yang hanya boleh dimasuki dengan pacuan 4 roda yang tinggi enjin
diesel. (Rujuk Gambar )Saya mendapat
maklumat sehari sebelumnya sudah terdapat 6 buah teller panjang bantuan
daripada kerajaan pusat telah sampai membawa bekalan tilam, bantal. Seterusnya saya terlibat menghantar bantuan
ke Kampung Seberang Merbau, Sek Bongor di kawasan berhampiran dengan Sungai Golok. Untuk memasuki kawasan ini kami terpaksa menggunakan
bot dan bot enjin sangkut yang kami bawa tidak dapat digunakan sepenuhnya
kerana kipas tersangkut pada rumput. Untuk makluman , kami menggunakan dua buah
bot, dan dua kali kami menghantar
bantuan ke kawasan ini. Cubaan pertama menggunakan” air boat” ( Hasil ciptaan
9W2NJT) Pak Nojib, tetapi “Air boat” bocor kerana terlanggar pili bomba. Oleh sebab itu, hanya sebuah bot yang bawa
bekalan makanan sampai dan saya berada di dalam boat itu, pada waktu ini hujan
lebat dan kami semua kebasahan. Hanya
bot enjin galah sahaja yang selamat digunakan. Ini kerana bentuk sampan yang lebih tirus membolehkan
bot galah menyelit di celah-celah kebun getah.
Pemandangan di kawasan kampung Bangor umpama terperangkap di sebuah
pulau. Dan mengikut bantuan pengerusi
KRT kg tersebut En Tahar pada malam pertama air naik. Hampir 460 orang penduduk
terpaksa berasak-asak di dalam dua bilik sekolah yang kecil dan mereka tidak tidur dan ada yang
tertidur dalam keadaan berdiri.
Alhamdulillah
bantuan kami sampai pada hari kedua dan ketiga.
Pada rombongan bantuan kali kedua kami membawa bantuan yang lebih banyak
dan sudah ada penduduk yang pulang ke rumah untuk membersihkan rumah. Air hujan ini cepat surut dan pada kali ini
hanya tinggal 70 orang di pusat pemindahan.
Penduduk di kg Bongor sebenarnya sudah biasa ditenggelami banjir dan
hampir 80% rumah ada sampan Cuma banjir kali ini amat luar biasa dan mereka tiada
bersedia untuk banjir yang sebegini besar.
Ada maklumat mengatakan banjir ini hasil limpahan air empangan Shukirin
yang dilepaskan untuk mengelakkan empangan pecah. Saya tak pasti
Sedang kami
menguruskan bantuan banjir di kawasan pasir Mas yang terjejas teruk kerana
banjir air hujan, dan limpahan sungai.
Kami di kejutkan dengan berita banjir melanda Gua Musang dan Kuala
Krai. Kami menerima mesej daripada pihak
berkuasa untuk misi menghantar bantuan makanan di kawasan Keroh, Kuala krai.
Pengalaman memantau
berita-berita banjir melalui radio amatur satu pengalaman baru bagi saya. Di
kawasan –kawasan yang terjejas seperti
Dabong, Kuala Krai, Jeli dan Gua Musang terputus bekalan elektrik, telefon habis bateri dan mereka terperangkap. Hanya
Radio Amtur sahaja medium berhubung dan Alhamdulillah saya ada kemudahan
itu. Satu berita yang saya terima daripada Dabong
melalui salah seorang ahli rakan ham Kak Nah dengan menggunakan kuasa bateri
meminta pertolongan bantuan makanan untuk seramai 65 orang di kawasan Jelawang
yang sudah 2 hari terputus makanan mereka berpindah di bangunan Kesedar
Jelawang berhampiran masjid. Kami
berusaha menyalurkan maklumat ini kepada pihak berkuasa. Terdapat dua pasukan yang perlu di jelaskan .
Bagi misi menyelamat ialah ATM, Polis, Bomba dan JPAM. Manakala MERCY adalah
sebuah NGO yang terlibat untuk misi menghantar makanan dan bantuan medik serta
kemanusiaan.
Seterusnya, tidak
lama selepas itu, kami mendapat maklumat daripada seorang rakan ham di kuala
krai yang memaklumkan terdapat mangsa pemindahan di Sek Kebangsaan Bedal
seramai 1052 orang yang sudah 2 hari terputus makanan. Saya mendengar dengan
hati yang sayu tidak menjangkakan banjir di hulu lebih hebat.
Setelah mendapat
pengesahan dan kebenaran daripada pihak berkuasa pasukan kami berusaha untuk
menghantar makanan di Sek Bedal Kuala Krai.
Perjalanan ini melalui satu trip yang lebih mencabar daripada bantuan di
Sek Bongor. Kami membawa bekalan-bekalan makanan asas bersama peralatan seperti 2 buah boat
dan 6 buah kenderaan pacuan 4 roda. Untuk ke Sek Bedal kami terpaksa memilih ke
Rantau Panjang, kerana lebuh raya Pasir Mas ke Tanah Merah telah terjejas,
bandar baharu Tanah Merah hampir lumpuh dan tenggelam air. Kami melalui jalan Bukit Tandak, melalui Kemahang
dan terus keluar di jalan Tanah Merah Jeli.
Perjalanan kami ke Machang ini terganggu kerana air mula naik di simpang
empat Tanah Merah Kusial dan paling menyedihkan ada kenderaan yang tinggalkan
di tengah jalan semata-mata untuk bermain air, ia umpama pesta main air banjir
sedangkan ada nyawa yang perlu diselamatkan.
Pada waktu ini air telah naik dengan cepat dan beberapa buah rumah telah
tenggelam di sepanjang jalan. Ketika
melalui jalan ini, saya mula teringatkan keluarga saya di Pasir Mas. Macam mana sekiranya banjir ini sampai ke
kawasan saya di Lubuk Jong. Saya terus menaip whatassp kepada isteri saya
mengarahkan supaya beli, lilin, bekalan makanan ekstra, dan berpindah ke Masjid
Lubuk Jong di tingkat dua jika perlu berpindah (walaupun tingkat 2 belum siap
sepenuhnya). Pada waktu ini saya lihat kawasan bandar baharu di Tanah Merah
tenggelam. Aras air di Putera Velly
melimpah hingga ke tingkat 4 kerana berada di kawasan rendah. Rumah-rumah yang besar, indah, gah cantik,
tenggelam di kawasan Pusat Pemulihan Akhlak. Maka terdetik di hati saya. “
apakah ini semua?”, apakah hikmah dan pengajaran di sebalik ini semua?. Saya kaku dan mula datang satu gambaran di
dalam filem Noah yang saya tonton sebelum ini.
Ahhh besar sungguh imaginasi saya.
Setelah melalui
perjalanan hampir 3 jam kami sampai di Keroh Kuala Krai. Pada waktu ini.
Pasukan Askar, Bomba, Polis telah sampai.
Sejurus sampai, kami terus loading barang-barang ke dalam boat dan
hendak ke Sek Bedal. Pada waktu itu jam
hampir 7 malam. Sebelum bertolak ke
lokasi saya sempat mencadangkan kepada presiden ResK Abang Ji supaya membawa
bersama seorang penduduk tempatan sebagai penunjuk arah agar kami tidak sesat
dan tersangkut. Lupa untuk saya
maklumkan pada waktu ini air banjir
paras tiang elektrik. Bot kami melalui
air yang deras dan menyusul melalui wire elektrik. Walaupun difahamkan elektrik telah dipotong
tetapi kami tetap berhati-hati. Untuk
sampai ke Sek Bedal kami menaiki bot lebih kurang 45 minit kerana kami
menggunakan bot laju yang besar milik ResK kerana ini sahaja yang ada. Kelemahan bot laju “speed boat” ia mesti dipandu laju untuk memudahkan kawalan dan
digunakan di kawasan luas. Sebaliknya
dalam operasi ini kami terpaksa melalui celah-celah bumbung rumah, tiang
elektrik, pokok getah dan hujung pucuk pokok yang tinggi dan bot tidak boleh
dipandu laju. Apa sahaja boleh berlaku walaupun
kami memakai jaket keselamatan. Saya
mendapat pengalaman baharu pemandu boat akan ada masalah apabila kita membuka
lampu kerana pantulan air menjadi pemandu bot silau. Beliau mengarahkan saya
menutup lampu dan hanya buka bila perlu. Dengan muatan yang banyak dan boat
yang dipandu secara perlahan menjadikan keadaan boat terhuyung hayang. Alhamdulillah kami berjaya sampai dengan
selamat. Terima kasih kepada Mat seorang
pemuda tempatan yang sudi menjadi penunjuk arah. Beliau boleh memberitahu di mana ada besi, di
mana ada kereta tenggelam, lembu mati, besi tajam dan halangan-halangan sepanjang
perjalanan menaiki boat dalam gelap dan membolehkan selamat sampai ke
destinasi. Semasa perjalanan menggunakan
boat saya ada melihat sebuah truck tentera juga terperangkap di dalam air
mungkin kerana silap menjangkakan kedalaman air di atas jalan.
Ketika di dalam
boat tablet Andriod saya melaungkan azan Maghrib. Saya pun niat jamak takhir. Apabila sampai di kawasan Sek Bedal. Kami
dapat maklumat mereka sudah 2 hari berlapar , tidak cukup makanan dan mereka
dengan sedih memberitahu kami terpaksa memecahkan stor koperasi sekolah untuk
mencari apa –apa yang boleh dimakan dan keutamaan diberikan kepada kanak-kanak.
Apabila kami
sampai, baru kami tahu rupa-rupanya ada dua buah sekolah di sana , pertama
sekolah Agama ( Arab) yang menempatkan lebih kurang 80 orang mangsa (Gambar).
Dan Sek Bedal. Maklumat yang kami dapat hanya ada sebuah
pusat pemindahan banjir. Kami tidak
mampu membuat apa-apa dan kami juga turut melawat mereka walaupun rasa sedikit
bersalah kerana masuk ke Sekolah Arab tadi dengan tangan kosong kerana semua
makanan telah diserahkan kepada Sek Bedal.
Tapi kami berfikiran positif
setidak-tidaknya lawatan kami boleh menyampaikan mesej bahawa penderitaan
mereka mendapat perhatian. Dan pihak
Mercy lebih memberikan fokus untuk menghantar makanan kepada pusat pemindahan
bukan secara individu.
Semasa di Sek Bedal,
saya dapat melihat betapa tinggi nilai
budi penduduk masyarakat Melayu Kelantan di sini dalam mereka menzahirkan nilai terima
kasih mereka. Walaupun tidak cukup makanan, tetapi mereka masih menghormati
tetamu dan tidak kedekut untuk menghidangkan kami dengan roti goreng dan air
secara ala kadar. Saya malu dengan budi
itu dan saya menolak hidangan itu kerana saya fikir mereka lebih memerlukan
kerana rombongan kami datang untuk membantu. Dan mereka bersungguh-sungguh dan
hampir memaksa saya menjamah roti tersebut.
Tetapi saya tidak sampai hati untuk menjamah roti itu bukan kerana tidak
sedap tetapi saya fikir masih ramai anak-anak kecil yang lapar pada waktu itu.
Alhamdulillah
misi menghantar makanan berjaya dan kami merupakan pasukan pertama sampai ke
sana. Semasa kami hendak ke boat . Kami
dapat maklumat ada kematian. Seorang
warga emas meninggal kerana sakit tua.
Timbul persoalan di benak saya. Bagaimana mereka hendak uruskan jenazah. Air masih belum surut, perhubungan terputus
elektrik pun tiada. Saya mendapat
maklumat ramai penduduk lari ke bukit untuk menyelamatkan diri. Dan pihak
Tentera mengagihkan bantuan makanan melalui udara.
Kami terpaksa
bergegas pulang kerana pada bimbing air melimpah ke jalan di Tanah Merah dan kami
akan terperangkap. Apabila sampai di
bandar Machang, saya cuba menelefon isteri saya berkali-kali namun tidak
masuk. Whatassap family group juga terputus
hati mula sedikit runsing. Dan saya
berdoa agar semuanya selamat sebelum saya tertidur di dalam perjalanan kerana
keletihan. Terima kasih kepada Hj Nasir
yang pakar memandu kenderaan 4x4. Alhamdulillah kami sampai di Pasir Mas jam 12
malam. Pada waktu itu, repeater kami tiada bekalan elektrik dan kami sampai
dalam keadaan Jajahan Pasir Mas bergelap.
Alhamdulillah, repeater kami boleh beroperasi dengan kuasa bateri. Setelah mendapat bekalan kuasa kami boleh
berhubung semula.
Alhamdulillah
saya selamat sampai ke rumah pada 25/12/2014 dan Pasir Mas masih belum dinaiki
air, jalan masih kering kontang. Saya
menceritakan pengalaman saya kepada isteri saya dan dia faham betapa serius
banjir kali ini. Esoknya saya ceritakan
kepada jiran saya. Banjir kali ini amat
luar biasa. Dan dengan selamba dia berkata.. ”kawasan kita air tidak sampai kalau ikut pengalaman lepas”. Saya cuba meyakinkan berkali-kali.. tetapi
beliau masih mengulangi perkataan yang sama. Saya pun “diam”.
Insyallah nanti
, kalau ada kelapangan malam nanti saya akan tuliskan pengalaman bagaimana
PASIR MAS lumpuh sepenuhnya dilanda banjir gelombang kedua. Nak kemaskan rumah dahulu.- Wan Damak (
9W2DSW)- Terima Kasih.
Hubungi Damak di talian 017-978 4268 whatassp/ Telegram. untuk maklumat lanjut.Atau email ke waletgroup@gmail.com. Pilihan ditangan Anda..
Catatan Banjir Di Pasir Mas 25 - 29 Disember 2014- Manusia dan Kemanusiaan
Gelombang Kedua.
Catatan ini merupakan sambungan kepada catatan pengalaman
banjir sebelum ini. Sekiranya hendak
saya tuliskan semuanya ia akan menjadi satu tulisan yang panjang. Insyallah saya akan cuba tuliskan satu
persatu sementara ia masih segar dalam ingatan saya.
Banjir Gelombang kedua
datang daripada Gua Musang ke Pasir Mas melalui sungai Kelantan. Ketika saya di Keroh Kuala Krai saya sudah
mulai bimbang bagaimana sekiranya air ini mengalir ke hilir. Aras air yang tinggi dan arus yang kuat
menandakan air semakin naik dan mengalir turun ke hilir. Saya amat khuatir tentang air ini akan
melimpahi seluruh kawasan Pasir Mas.
Benteng Air Muleh di bina dengan ketinggian aras dada lebih kurang 4 kaki
daripada bandar Pasir Mas akan menjadikan air sungai mengepung bandar itu. Apakah yang akan berlaku sekiranya benteng
ini dilimpahi air dan airnya mengalir masuk ke dalam bandar. Pada waktu itu hubungan telefon (Maxis) masih
boleh digunakan sehingga jam 11 malam. Namun
sebagai ahli radio amatur kami banyak berhubung melalui radio untuk menyalurkan
maklumat. Melalui radio amatur kami
mendapat maklumat tentang perkembangan semasa aras air di seluruh Kelantan.
Kami
berjaya mencari jalan pintas ke keroh melalui maklumat radio amatur melalui
cadangan oleh rakan-rakan ham.
Mereka sentiasa menyalurkan
maklumat tentang keadaan jalan raya yang masih boleh dilalui. Sekiranya tidak boleh dilalui apakah jalan
alternatif yang boleh digunakan.
Elektrik di Potong
Setelah
pulang misi penghantar makanan di Sek Kebangsaan Bedal dan melawat Sek Men
Agama Syukuriah , Keroh Kuala Krai ( seperti yang saya maklumkan sebelum
ini, kami hanya mengetahui ada pusat
pemindahan di sekolah Agama ini apabila sampai di sana). Saya sampai di pasir mas pada jam lebih
kurang 12 malam. Saya mendapat maklumat
elektrik telah dipotong pada jam 11.00 malam.
Setelah saya berhenti di RDD Café saya sempat bertemu dengan Anuar Batu Karang
seorang rakan ham yang bertanggungjawab menyelenggarakan kemudahan repeater
RDD. Beliau telah menukarkan bekalan
kuasa repeater kepada kuasa bateri dan semua ahli Ham di ingatkan agar tidak
bercakap hal yang sia-sia dan menggunakan repeater untuk hal-hal penting
sahaja. Untuk memastikan arahan ini di
patuhi presiden ResK ( 9W2RRP) mengawal dan memantau penggunaan repeater dan
akan mengeluarkan arahan “ Break” sekiranya terdapat perbualan yang melencong
dan berpanjangan.
Tanpa melengahkan masa
saya terus bergegas pulang ke rumah untuk melihat keadaan keluarga. Alhamdulillah isteri saya telah bersedia
membeli lilin dan kemudahan yang perlu untuk stok lebih kurang 5 hari. Masalah
utama dunia hari ini apabila tiada
elektrik. Semua kemudahan
terbantut. Ini termasuk kemudahan line
telefon, bekalan air, bekalan minyak petrol dan sebagainya. Pada waktu ini saya mula memantau keadaan air
yang semakin melimpah di dataran Air Muleh.
Saya telah ke Masjid Lemal yang berhampiran dengan tebing sungai
Kelantan bersama 9W2NCO dan seterusnya memantau pintu air KADA di Kelar bersama
9W2IRH. Semasa berada di Kelar
berhampiran dan dengan tangki air Kelar saya mendapati air mula melimpahi jalan
raya dan melintasi jalan utama ke Tanah Merah.
Sekiranya air terus melimpah ia
akan membanjiri kawasan Pondok Lubuk Tapah, Kawasan Lati, Apam, dan seterusnya
Lubuk Jong.
Air
di Masjid Lemal
Penunjuk
aras kami mudah, sekiranya air mula melimpahi benteng Bandar Pasir Mas.. maka
keadaan dalam keadaan bahaya. Saya dua
kali ke Masjid Lemal dan sekali ke Dataran Air Muleh untuk memantau keadaan
air. Pada malam itu keadaan masih lagi
selamat.
Air Di Dataran Air Muleh (25/12/2014)
Sehari
sebelumnya, sebelum ke Keroh, saya bersama pegawai MERCY Pn Azura sempat ke
bandar pasir Mas untuk ke ATM dan mengeluarkan wang. Pada waktu itu, kami menjadi
pelanggan terakhir ATM Bank Rakyat untuk mengeluarkan wang sebelum ia di tutup
atau plug off. Di saat ini terlintas di
fikiran saya duit banyak dalam bank pada waktu ini sudah tidak berguna kerana
tidak dapat dikeluarkan.
Air Di Bandar Pasir Mas. (25/12/2014)
Kami
mendapat laporan dua buah lori yang membawa bekalan peralatan “post flood”
untuk kawasan Rantau Panjang tersangkut di Kuala Krai. Semua orang mengharapkan bantuan makanan
kerana bantuan makanan di hampir terputus di base camp kerana telah diedarkan
untuk mangsa banjir gelombang pertama di sekitar Pasir Mas. Pada waktu ini
hujan turun sekejap-sekejap dan ia tidak akan menyebabkan banjir yang besar
secara logiknya. Tetapi banjir besar
sebenarnya bukan datang daripada hujan sebaliknya datang dari arah hulu sungai
Kelantan.
Base Camp berpindah
Pada
24/ 12 kami mendapat maklumat tentang 2 buah lori 3 tan yang membawa logistik
daripada Kuala Lumpur tersangkut di Sek
Men Teknik Kuala Krai dan di Guchil 6.
Mereka tidak dapat meneruskan perjalanan kerana jalan telah terkepung
dan dilimpahi air.
Maklumat
mengatakan Jalan Raya Cameron Loging telah rosak, seterusnya Jalan Raya Gerik
Rosak dan terdapat lori ayam jatuh ke dalam Gaung. Bagi mereka yang selalu
memantau melalui whatassp dan internet atau FB tentu akan berasa sedikit resah
kerana semua line telco pada waktu itu tidak boleh digunakan kecuali Celcom.
Manakala jalan Lebuh raya timur barat juga semakin dilimpahi air. Satu satunya untuk datang ke Kelantan pada
waktu ini ialah melalui udara. Walaupun begitu misi menghantar bantuan di
sekitar kawasan terjejas dengan banjir masih berjalan seperti biasa. Cuma terdapat kerisauan tentang bekalan
minyak petrol dan diesel akan habis.
Apabila
mendengar berita tentang keadaan ini keadaan sedikit panik. Orang ramai mula berebut membeli barang
membuat stok makanan dan lilin. Harga
lilin semasa ialah 1.80 sekotak terjual dengan harga RM1 sebatang. Stok barangan Thailand mula masuk. , minyak
Thailand, sardin Thailand, air mineral, telur dan sebagainya.
Pada mulanya base camp
MERCY ialah di Kampung Dangar Pasir Mas tetapi telah berpindah ke satu lokasi
lain yang lebih selamat kerana air semakin tinggi. Untuk mengelakkan penduduk tempatan menyerbu
bekalan bantuan. Bendera Mercy telah
diturunkan di Base Camp. Mahal sehingga
sekarang saya masih takut untuk memberitahu di manakah base camp terkini MERCY
untuk mengelakkan keadaan buruk berlaku.
Proses
pemindahan stok makanan daripada base lama ke lokasi baru telah dilakukan
secara berperingkat dan Alhamdulillah kami boleh lakukannya dengan lancar.
Semasa
di Base Camp di Kg Dangar, pihak MERCY diuruskan oleh Puan Azura dan pegawai
tertinggi MERCY Malaysia.
Base
Camp Di Kg Dangar
Air Semakin Naik
Pada 26 /12
Pasir Mas bergelap. Saya terlupa 25/12
adalah Krismas. Cuma pengaruh angka 26
datang dalam minda saya apabila kebanyakan bencana alam berlaku di antara 24-26 Disember.
Saya menyangkal pemikiran liar itu meyakinkan hati saya bahawa semua ini
ketetapan Allah. Pada waktu ini telefon
saya kehabisan bateri dan power bank berada di rumah. Sehari saya menyumbang masa
hampir 12-16 jam bersama pasukan MERCY.
Begitu juga dengan ahli-ahli ResK yang lain. Tuan Presiden (9W2 RRP) dan Timbalan Presiden
(9W2HDR) termasuk Tuan Haji Nasir menyumbang masa hampir 24 jam berada di Base
Camp bersama ahli-ahli MERCY yang lain termasuk Cik Hayati dan lain –lain. Lokasi Base Camp baharu tidak dinaikkan
bendera dan kami cuba beroperasi secara tenang untuk mengelakkan gangguan daripada
orang awam yang semakin tertekan.
Bateri repeater
telah beberapa kali ditukar kerana banyak rakan-rakan radio masuk untuk
memaklumkan tentang keadaan semasa.
Fokus bantuan MERCY bersama ResK lebih menjurus kepada penghantaran
makanan ke pusat-pusat pemindahan dan bukan individu. Namun sekiranya ada individu yang datang ke
Base Camp untuk meminta makanan. Pihak MERCY tidak akan membiarkan mereka
pulang dengan tangan kosong.
Setelah bekalan
elektrik dipotong kerana pencawang di Lemal dinaiki air. Penduduk Pasir Mas mulai terasa tekanan dan
berita tentang bekalan elektrik yang akan dipotong sehari sebelumnya terbukti
benar walaupun ada mengatakan berita itu palsu.
Segala berita yang diterima dalam keadaan terjejas ini akan diterima
sebagai benar dan dimasukkan di dalam perkiraan penduduk. Oleh itu mereka mula panik dan orang ramai
mula berpusu-pusu membeli makanan untuk membuat stok makanan.
Repeater Menggunakan Kuasa Bateri
Suka juga saya
menceritakan tentang keadaan repeater apabila menggunakan kuasa bateri. Ia melibatkan etika penggunaan kuasa
bateri. Bagi ahli-ahli rakan ham yang
suka bercakap mereka gagal untuk mengawal perasaan itu dan membiarkan “jalur”
kosong untuk digunakan oleh ahli-ahli yang perlu sahaja. Ada yang bertindak sebagai pengulas dan
bercakap hal sama berulang kali. Ini
melanggar arahan yang telah di keluarkan oleh Presiden tentang penggunaan
repeater semasa kecemasan. Walaupun
begitu, keadaan ini dapat dikawal dan Repeater 9M4RDD menjadi alat penghubung
utama apabila semua talian telefon terputus dan kehabisan bateri. Repeater lain juga tidak dapat berfungsi
apabila tiada bekalan kuasa. Repeater ini telah menjadi satu-satunya repeater
yang menyalurkan maklumat. Mengikut
syarat SKMM repeater boleh berfungsi dalam jarak 50km. Namun dalam keadaan in, kami mampu QSO (
berhubung) dengan Dabong, Kuala Krai sesetengah kawasan di Gua Musang.
Bersedia dengan Bateri
Alhamdulillah kemudahan ini memberikan
kelebihan kepada ahli-ahli rakan HAM untuk memantau keadaan semasa banjir.
Agihan Makanan
Setelah perhubungan
Jalan raya dan bekalan elektrik terputus,
masalah utama yang timbul ialah cabaran untuk menghantar bekalan makanan
ke kawasan terjejas. Di sekitar Base Camp sahaja terdapat puluhan pusat
pemindahan banjir seperti Sek Men Agama Lati, Sek Kangkong, Sek Kelar, Sek Dato
Hamid Pasir Mas, Sek Othman Talib ( Tendong), Sek Pohon Tanjung, Sek Bakong,
Sek Bongor, Sek Chetok, Sek Men Perempuan Pasir Mas , Sek Banggol Chicha dan
berberapa pusat pemindahan banjir yang wujud secara ad- hoc walaupun tidak digezetkan
kerana jalan untuk pusat pemindahan sudah terputus
Pengalaman Rakan-Rakan Ham
Pada waktu ini,
rakan-rakan Resk menceritakan pelbagai pengalaman mereka yang memerlukan ruang
yang panjang untuk saya turunkan di sini. Mungkin saya boleh senaraikan beberapa
pengalaman mereka untuk makluman bersama.
1) Dihanyutkan Air Deras
Peristiwa ini
berlaku berapa kali lokasi yang sama iaitu Jalan Pintas Lati ke Banggol Chicha. Terdapat satu kawasan arus deras di kawasan
sebelum lintasan keretapi selepas lampu isyarat. Arus air ini amat deras hingga
mampu mengerakkan lori polis 3 tan.
Kejadian pertama telah meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan
berusia 11 tahun apabila sebuah kereta 4x4 jenis pajero telah dihanyutkan air
setelah tergelincir ke dalam cerun yang di dalam air yang dihakis oleh air. Ibu dan bapa mangsa terselamat apabila sempat
keluar berdiri di atas bumbung manakala mayat mangsa ditemui tersangkut di bahagian
pintu kenderaan mungkin kerana kegagalan untuk keluar daripada kenderaan
terbabit.
Kejadian kedua
di tempat yang sama apabila seorang remaja lelaki yang menunggang basikal
hanyut dan mayatnya dijumpai dua hari kemudian di lokasi yang sama.
Di lokasi yang
sama juga seorang pemuda menaiki motosikal untuk melawat ibunya di gelang mas
telah hanyut dibawa arus deras lebih kurang jam 12 malam. Ia berhampiran dengan lokasi base camp MERCY
. pada waktu ini bekalan elektrik terputus dan keadaan jalan raya sunyi. Cik Hayati telah mendengar jeritan meminta
tolong dan sepasukan Skuad Rekreasi Sukan Air daripada Johor dan Perak telah
bersama-sama dengan MERCY dan telah bergegas ke tempat kejadian. Sewaktu sampai di tempat kejadian mereka
hanya dapat melihat isyarat lampu telefon dan sudah ramai orang awam di sana
tetapi tiada siapa yang berani menolong kerana arus deras. Hj Nasir telah menggunakan kenderaan pacuan 4
roda beliau jenis Land Cruise dan pasukan rekreasi telah berjaya menghulurkan
tali untuk menyelamatkan mangsa dan mangsa sempat berpaut pada tali dan Haji
Nasir bertindak mengundurkan kenderaan yang tempat lebih tinggi. Alhamdulillah mangsa
berjaya diselamatkan.
Lori 3 Tan Polis Tergelincir kerana Arus Deras.
Lokasi Bahaya Meragut Dua Nyawa.
Seterusnya pada
28 Disember 2014 berlaku satu tragedi dua beradik lemas kerana menaiki rakit
katanya untuk pergi membersihkan rumah kerana air pada waktu ini mulai surut
sedikit. Mangsa pertama telah lemas dan
mangsa kedua cuba untuk menolong akhirnya kedua-dua mangsa lemas.
Lebih tragis
lagi apabila sebuah lori polis 3 tan yang ditugaskan untuk pergi mengambil
jenazah mangsa pula tergelincir ke dalam arus deras di lokasi dua kejadian
lemas dan hanyut sebelum ini.
Operasi Mencari Dua Beradik Lemas dan Abang Mangsa Dahulu dijumpai
Seterusnya 9W2IXX memaklumkan beliau telah mendapat maklumat seorang
wanita yang hendak bersalin telah diarahkan oleh pihak Dr Hospital Lati agar
pulang walaupun wanita berkenaan sudah berada dalam keadaan kritikal ( keluar
darah) atas alasan tiada bekalan elektrik.
Ini adalah satu tindakan yang tidak dapat diterima kerana wanita
berkenaan telah mengharungi air ke hospital dan pihak hospital telah membuat
satu tindakan yang melanggar etika kemanusiaan dan perubatan saya kira.
Alasan tiada
bekalan elektrik tidak boleh diterima kerana ia seperti memberikan mesej pihak
Hospital Lati tidak bersedia dan tiada pelan tindakan kecemasan. Hingga sampai satu tahap pihak sukarelawan
ResK iaitu Presiden RRP bertindak menjadi “MacGyver” berusaha menghidupkan set generator
diesel yang rosak starter dan pihak ResK membantu memberi bekalan bahan bakar. Ini
adalah sesuatu yang di luar jangka namun kerana terdapat keperluan terdesak
pihak ResK terpaksa menolong. Pihak pengurusan
Hospital seperti mati kutu tidak dapat bertindak melakukan apa-apa sekiranya
berlaku kecemasan
Manakala 9W2HDR pula menceritakan beliau berusaha untuk
pergi menjemput tiga orang jururawat yang bertugas di hospital Lati dengan kenderaan sendiri dengan
mengharungi air yang dalam hingga tenggelam lampu hadapan kenderaan 4x4 beliau
kerana keperluan mendesak di hospital kerana tidak cukup kakitangan . Namun jururawat terbabit menolak jemputan itu
atas dasar bukan giliran atau shift dia bertugas.
Banyak lagi
kisah-kisah yang saya dengar- dengar tetapi saya tidak masukkan kerana bukan
datang daripada sumber pertama.
Barangan Thailand
Oleh sebab
perhubungan terputus dan boleh katakan penduduk dalam keadaan kurang bersedia
dan tidak menjangkakan banjir akan datang dengan gelombang yang besar.
Bahan-bahan yang sering menjadi permintaan
penduduk ialah , minyak masak, lilin, biskut, sardin , beras dan beberapa
keperluan asas yang lain.
Minyak masa mula menjadi pilihan kedua
untuk membuat lilin apabila kehabisan lilin.
Lilin dijual dengan harga RM 1 sebatang. Bekalan barangan keperluan asas daripada
Thailand mula masuk walaupun pintu pagar sempadan tidak boleh beroperasi kerana
tiada bekalan elektrik. Mungkin bekalan ini masuk melalui sampan atau perahu
melalui sungai golok.
Bekalan Petrol
daripada Thailand mula masuk. Buat
pertama kali saya melihat minyak Thailand berwarna merah dan hijau. Biasanya warna petrol di Malaysia warna
kekuningan. Saya hampir was-was untuk
membeli minyak untuk digunakan pada motor.
Pada waktu ini kereta saya telah dialihkan ke atas jalan depan kedai
saya. Kawasan itu agak tinggi berbanding
kawasan lain. Saya mengambil tindakan
awal dan pada waktu ini, jiran-jiran sekitar seperti ketawa dan gelak melihat
tindakan saya. Saya seperti kelihatan
terlalu takut dan bersedia walhal mengikut mereka kawasan rumah kedai saya ini
tidak pernah dinaiki air. Saya mempunyai
alasan say sendiri setelah melihat sendiri aras air dan bahaya banjir yang
berlaku di Keroh. Biarlah apa yang mereka katakan yang penting saya telah cuba
memberitahu mereka tetapi mereka “seperti tidak yakin” kerana tidak melihat
sendiri.
Saya menjadi orang pertama di kawasan itu
“parking” kereta di tepi jalan dan saya mencari kawasan yang paling tinggi dan
kebetulannya ia tidak jauh daripada kedai saya.
Pada waktu ini, budak-budak motor masih
lagi galak bermain motor dan mengharung air.
Mereka mungkin tidak boleh menjangkakan minyak motor mereka akan menjadi
aset penting sehari dua lagi.
Ternyata dugaan
saya benar apabila sehari selepas itu berlaku kegiatan mencuri minyak kenderaan kereta-kereta yang diletakkan di tepi jalan. Pada waktu itu, saya bergerak menggunakan
motosikal dan meter minyak menunjukkan ada 2 blok yang masih boleh
digunakan. Saya sempat berjalan kaki
hampir 3km untuk ke Base Camp MERCY dan mengharung air untuk menyertai pasukan
4X4. Catuan minyak yang saya lakukan
berbaloi apabila di saat motor-motor Mat Rempit kehabisan minyak dan stesen minyak telah ditutup kerana ketiadaan
kuasa elektrik serta ditenggelami air.
Pada waktu itu, mereka melihat saya masih boleh menunggang motor.
Pada waktu ini,
saya dapat lihat ramai yang menggunakan basikal untuk meninjau air. Saya sempat
berjumpa dengan seorang remaja yang mengayuh basikal hampir 10km untuk mencari
line telefon untuk menghubungi keluarganya dan memaklumkan tentang banjir dan
beliau selamat.
Penduduk Panik
Pada 26, 27 dan 28 Disember merupakan
keadaan yang mencabar apabila elektrik terputus, air semakin naik, jalan
terkepung dan bekalan makanan terputus kerana masing-masing memborong dengan
kuantiti yang luar biasa untuk stok keluarga. Saya dan isteri telah membuat
persiapan awal dan kami tidak risau sangat.
Apa yang kami risaukan ialah ke mana kami hendak pindah sekiranya air
datang dengan cepat, deras dan dalam?
Keadaan
ini telah menimbulkan keadaan panik.
Kedai Haji Mat berhampiran dengan rumah saya telah diserbu oleh
penduduk. Begitu juga dengan kedai Kak
Na di Repek. Top up telefon habis, lilin
habis, biskut habis, beras habis, sardin, Mie Segera, Mihun , minyak masak,
ikan kering, budu semuanya licin.
Saya teringat kisah bagaimana keadaan
manusia apabila mereka berhadapan dengan suasana kritikal, mereka akan menjadi
individualistik. Saya teringat tentang
kisah di dalam Al-Quran tentang dahsyat kiamat seorang ibu akan melupakan anak
yang baru dilahirkan kerana takut dengan dahsyat kiamat. Saya tidak berniat
untuk samakan keadaan ini dengan dahsyatnya kimat cuma saya dapat melihat ia
benar, ia benar dan benar. Manusia akan menjadi terlalu pentingkan diri sendiri
dan keluarga mereka. Itu adalah lumrah
kerana begitulah kehendak Tuhan. Dan
sikap itu juga ada dalam diri saya dan semua orang kerana kita adalah
manusia.
Dua Malam Tidur di Masjid.
Setelah air
semakin naik, pada malam itu 26 /12 saya mula bertindak membawa anak-anak ke
masjid Lubuk Jong ke tingkat 1. Walaupun di tingkat bawah masih lagi kosong dan
lebih selesa dan luas kerana tingkat 1 masih dalam proses pembinaan. Pada waktu itu, air mula naik dari arah
belakang kedai kerana kedudukan kedai saya terkepung dengan jalan raya dan
menjadikan air lambat sampai. Saya tidak
mahu mengambil risiko dan terus kejutkan anak-anak berpindah ke Masjid. Waktu sampai di masjid, hanya satu keluarga
lain dan beberapa buruh Indonesia telah berada di tingkat 1 masjid. Saya biarkan anak-anak dan isteri tidur di
Masjid dan saya selitkan satu golok di dalam beg isteri untuk sebagai “keras semangat”.
Pada malam itu,
saya tidur di kedai dan anak-anak tidur di masjid. Saya hampir tidak tidur dan memantau keadaan
air di kedai. Saya berusaha seorang diri mengangkat beberapa peralatan dalam
rumah. Entah dari mana datang kekuatan saya boleh angkat beberapa peralatan
yang agak berat dan cuba lapik dan tinggi sedaya mampu.
Saya telah
menyelamatkan beberapa dokumen penting, dan peralatan komputer saya
seperti-laptop, chargers dan sebagainya.
Sebagai seorang penuntut PhD saya amat risaukan thesis saya yang sudah
memasuki bab 5 serta analisis data. Alhamdulillah saya telah backup awal-awal
dan simpan di dalam cloud terlebih dahulu. Dan ternyata ia banyak membantu saya
dalam keadaan ini. Saya tidak risaukan
peralatan dan apa-apa yang akan berlaku setelah kita berusaha kerana selebihnya
berserah kepada Allah.
Aras Air Di Depan Kedai Hampir 3cm Mencecah Lantai
Keadaan
air naik dengan agak perlahan dan Alhamdulillah keesokannya aras air hanya
hampir 3 cm daripada lantai kedai.
Tetapi di bahagian belakang kedai lebih rendah sudah dinaiki air. Pagi
itu saya ke masjid berjumpa dengan anak-anak dan isteri mereka semua lena tidur
berselimut tebal dan berbantal empuk. Saya bersyukur melihat mereka dan datang
perasaan sayu di hati. Dan perasaan ini berlainan daripada perasaan sayu yang
sering saya alami apabila mereka semua tidur apabila saya bangun malam. Pagi itu
solat subuh berjemaah di masjid menggunakan lilin dan hanya tinggal satu
saf sahaja berbeza daripada hari-hari sebelum ini, mungkin kerana rumah Pak
Imam pun dinaiki air di Tasik Berangan dan jalan di Repek ditenggelami
air. Selepas solat di dalam doa biasa
saya menambah doa agar banjir ini segera berakhir dan air di langit berhenti
turunkan hujan dan bumi sedut lah air bah yang banyak ini. Pagi tu menjadi pagi yang begitu hening
kerana tiada lagi kenderaan motor dan kereta kerana lubuk jong sudah menjadi
pulau dikelilingi air.
Bagi
anak-anak mereka seronok hendak pulang kerana hendak main air. Anak yang sulung bertanya bila air nak
sampai. Anak yang kedua pula berkata nanti banjir boleh kita “igat” ikan. Kakak
dan adik yang bongsu gembira nak main air. Mereka tidak tahu perasaan Walid dan
Umminya yang amat bimbangkan mereka.
Diringkaskan pada sebelah petang air mula
melimpahi sedikit lantai kedai. Jadi
pada malam itu, kami sekeluarga tidur di masjid. Keesokannya harinya air mula surut dan kami
terus berpindah balik dan kemas barangan.
Bekalan Air Bersih
Bekalan air bersih juga terganggu
apabila elektrik tergendala. Semua
bekalan air paip tiada dan kami bergantung pada bekalan air mineral , air
minuman serta air perigi untuk mandi.
Alhamdulillah di sebelah kedai saya ada perigi dan ramai jiran-jiran
datang untuk menumpang mengambil air untuk keperluan harian.
Pengurusan
Pusat Pemindahan
Keadaan rumah
kedai saya tidak terjejas teruk dengan keadaan banjir dan ini memberi peluang
kepada saya untuk terus terlibat dengan pasukan bantuan banji. Walaupun pada 26
dan 27 Disember banjir melanda teruk di kawasan pasir mas ada beberapa kawasan
yang tidak terjejas dengan banjir dan Rumah kedai saya boleh dikatakan dalam
kategori tidak terjejas secara serius dengan banjir walaupun saya berpindah ke
masjid. Saya tidak berniat untuk
nyatakan kawasan yang tidak terjejas dengan teruk dengan banjir dikhuatiri akan
menimbulkan isu-isu lain selepas tulisan ini dan mungkin ada pihak-pihak
tertentu akan menggunakan tulisan ini untuk sesuatu tujuan yang lain. Cukuplah
saya menyatakan keluarga saya tidak terjejas teruk dengan banjir.
Satu hal yang
perlu saya jelaskan di sini ialah tentang pengurusan pusat pemindahan
banjir. Keadaan ini berlaku di pusat
pemindahan Sek Men Agama Lati Pasir Mas apabila tiada sistem pengurusan atau
SOP yang jelas tentang pengurusan mangsa banjir.
Wujud masalah
apabila keluarga mangsa yang berpindah masak secara berasingan dan berkelompok.
Dan keadaaan ini berlaku semasa pemindaan mangsa gelombang pertama lagi iaitu
melibatkan kg Apam, Seberang Merebau, Serongga dan kawasan Lati sendiri.
Apabila keadaan ini berlaku ia menjadikan bekalan makanan tidak cukup kerana
terdapat kecenderungan untuk membuat stok makanan keluarga dan bekalan makanan
tidak mencukupi. Keadaan tegang berlaku
sehingga memaksa tentera mengawal kawasan ini.
Dan walaupun pasukan tentera dan JPAM mengawal keadaan ini mangsa banjir masih menyediakan makanan
secara individu dan bukannya berkelompok.
Ini sesuatu yang perlu diperbaharui pada masa hadapan agar semua mangsa
mendapat bekalan makanan.
Seterusnya
sepatutnya tidak wujud isu, Pusat Pemindahan yang di Gezetkan atau tidak ini
kerana menjadi tanggungjawab pemimpin masyarakat setempat untuk memaklumi
kepada MKN serta JKM tentang jumlah mangsa banjir di kawasan mereka. Namun kerana ketiadaan bekalan kuasa elektrik
dan perhubungan telefon menjadikan maklumat ini tidak sampai. Maka ada sesetengah mangsa banjir terpaksa
pulang ke rumah semula kerana tidak dapat makan dan kelaparan di pusat
pemindahan banjir
Gambar Kenangan Pasukan MERCY 2014
Misi Ke Sek Bongor Pasir Mas
Gambar Kenangan bersama Hero-Hero daripda Perak Dan Johor. dan ResK
Bersama Tuan Haji Nasir
Preiden ResK RRP (Vest) bersama Orang Kuat MERCY
Keadaan Rumah di Keroh Kuala Krai
Berjaya Sampai Di Sek Bedal Puan Azura
6.30 pm Persediaan untuk Sek Bedal
Salah Seorang Mangsa Banjir Di Bedal
Kaum Hawa menyediakan makanan secara berkelompok di Sek Bedal, ( tidak cukup periuk), Mereka minta periuk besar. Katanya masak non stop.
Licin Periuk
Sek Menengah Ugama Arab Syukuriah Bukit Sireh
Bergambar bersama bekalan bantuan di Base Camp Kg Dangar
Bantuan ke Ke Taman Rantau Mas Rantau Panjang (Gelombang Pertama)
Allah tidak menjadikan sesuatu perkara melainkan untuk memberikan peringatan kepada kita semua untuk berfikir tentang kebesaran dan kekuasaanNya. Sesungguhnya Banjir ini menjadikan semua kami sama. Tiada kaya , tiada miskin di mata Allah yang membezakan kita ialah budi dan amal.
Mudahan segala amalan ini mendapat redha dan ganjaran daripada Allah. S.W.T.
Hubungi Damak di talian 017-978 4268 whatassp/ Telegram. untuk maklumat lanjut.Atau email ke waletgroup@gmail.com. Pilihan ditangan Anda..
Subscribe to:
Posts (Atom)