Sunday, 29 December 2013

KELESTARIAN USAHAWAN SARANG BURUNG WALIT MELAYU DI KELANTAN: SATU KAJIAN FENOMENOLOGI berasaskan Teori self-efficacy

KELESTARIAN USAHAWAN SARANG BURUNG WALIT MELAYU DI KELANTAN: SATU KAJIAN FENOMENOLOGI berasaskan Teori self-efficacy 

( Kemujaraban kendiri)

 Wan Khairy bin Wan Ibrahim
Fakluti Keusahawanan dan Perniagaan
Universiti Malaysia Kelantan

Prof Madya Dr.Mohd Rafi bin Yaccob
Fakluti Keusahawanan dan Perniagaan
Universiti Malaysia Kelantan

Abstract

This paper provides early insight into the entrepreneurship sustainability of edible bird’s nest industry in Kelantan.  Further explores issues related to current issues and sustainability of the entrepreneurial environment.  This paper draws upon the responsibility and   Malays entrepreneur’s self-efficacy to sustain as a basis of study.  A number of relevant dimension are going to be analyzed. Indeed, there is a clear and inherent need to distinguish between the business ideas especially when he or she is focusing on the development of business and becoming an entrepreneur. At the same time it is important to assess whether a directive or non-directive style is more appropriate. This is fundamentally a conceptual viewpoint paper and it contains both anecdotal evidence and opinion.  This paper offers a commentary and a framework dimension for entrepreneurs to be more effective and efficient and at the same time discusses the relevance depth and understanding of the said industry. 
Keywords: Entrepreneurs, sustainability, edible bird’s nest industry in Kelantan.




1.0 Latar Belakang Kajian

Kajian ini merupakan satu eksplorasi fenomenologi untuk mencari tema-tema keusahawanan dalam industri Sarang Burung Walit (SBW) Melayu di Kelantan.  Penglibatan kaum Melayu dalam industri yang dipelopori oleh kaum Cina menarik untuk diangkat sebagai tema utama kerana ia mampu menunjukkan keistimewaan, daya tahan serta daya kelestarian yang dimiliki oleh usahawan Melayu dalam perniagaan.  Kajian ini difikirkan bermanfaat kepada perkembangan ilmu keusahawanan orang Melayu dan perkembangan dunia akademik.  Fokus utama kajian akan menggunakan teori “ self-efficacy” yang dibangunkan oleh Albert Bandura (1977)Self-efficacy diterjemahkan oleh Pusat Rujukan Persuratan Melayu, salah satu badan rasmi di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai “ kemujaraban kendiri(Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, 2009).  Kajian ini akan menggunakan istilah kemujaraban kendiri sebagai merujuk kepada teori self-efficacy, Teori ini merupakan salah satu cabang utama dalam teori sosial kognitif yang dibangunkan oleh Albert Bandura.   Aspek-aspek khusus yang mendorong kelestarian perniagaan SBW akan diteliti menggunakan elemen dalaman dan luaran yang akan diperoleh melalui dapatan kajian nanti.  Kedua-dua elemen ini akhirnya akan menjadi persoalan penting kajian ke arah percubaan untuk mencari tema-tema konseptual kelestarian usahawan SBW Melayu di Kelantan.

2.0 Skop Kajian

Kajian ini terbatas dengan beberapa skop berdasarkan sumber kewangan, masa dan ruang lingkup kawasan kajian seperti di bawah;
a)      Penelitian terhad kepada sebilangan usahawan SBW Melayu di Kelantan yang berjaya sahaja.  Usahawan SBW yang dimaksudkan ialah mereka yang memiliki  Rumah Burung Walit (RBW)  sendiri secara individu dan bukan secara berkongsi.  Ini bertepatan dengan objektif kajian untuk  mencari tema-tema keusahawanan yang bersifat individu dan usahawan itu sendiri merujuk kepada individu.  Usahawan yang dipilih melibatkan mereka yang telah memiliki RBW dan telah berhasil menjual SBW melebihi 5kg sebulan.  Ini berasaskan purata harga minimum SBW sebanyak RM 800.00 sekilogram.  Maksudnya purata minimum pendapatan sebanyak RM 4,000.00 x 12 bulan = RM 48,000.00 setahun.  Ini adalah melebihi hampir dua kali ganda jumlah minimum pendapatan bercukai yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri ( LHDN) pada tahun 2010.  Mengikut banjaran LHDN pendapatan individu sebanyak  RM 48 ribu boleh dikenakan cukai sebanyak 12 peratus (Lembaga Hasil Dalam Negeri, 2012).  Ini bersamaan 1 peratus setiap bulan.  Tanda aras LHDN digunakan supaya dapat mengetahui pendapatan yang wajar dikenakan cukai dan mereka tergolong di dalam kelompok mereka yang berpendapatan tinggi.  Antara sebab lain juga, untuk menghasilkan 5kg sebulan memerlukan RBW yang telah beroperasi lebih daripada 5 tahun (Lim, 2007).  RBW yang telah didiami oleh BW melebihi 5 tahun telah berjaya menjadi habitat burung layang-layang gua secara kekal dan mereka akan terus menetap di RBW yang sama untuk generasi berikutnya.
  

b)      Pengkajian tema-tema kelestarian keusahawanan tidak dapat dihadkan kepada jumlah usahawan yang ditemu bual sebaliknya akan dilakukan sehingga keseragaman tema-tema ditemui. Dengan lain kata, jumlah usahawan yang bakal ditemu bual tidak terhad kepada jumlah tertentu kerana jumlah temu bual tidak jadikan satu penilaian mutlak kepada keseragaman tema yang akan dihasilkan. Merriam (1988),(2009) danYin (2002) menggunakan istilah “saturated” atau tepu untuk menggambarkan keadaan ini.


c)      Pemilihan Kelantan sebagai lokasi kajian berdasarkan majoriti Melayu paling ramai jika dibandingkan dengan orang Cina yang menjadi pelopor kepada industri ini.  Pada tahun 2010 jumlah penduduk di Kelantan seramai 1.54 juta orang.  Daripada jumlah itu sebanyak 82.8%   atau 1.275 juta orang merupakan kaum Melayu (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010).  Maksudnya lain-lain kaum hanya 17.2%  atau 265 ribu orang sahaja.  Relevannya, untuk meneliti kelestarian industri SBW Melayu di Malaysia penyelidik harus memilih negeri yang mempunyai majoriti penduduk Melayu paling ramai berbanding dengan kaum lain terutamanya orang Cina atas sebab yang telah dijelaskan sebelum ini.  Sorotan kajian juga menemui jumlah kaum bumiputera yang terlibat di dalam industri ini sebanyak 20% di Malaysia (Esme Johari Wahab, 2010) dan di negeri sebelah Pantai Timur seperti Kelantan penglibatan orang Melayu lebih kurang 30% kerana mempunyai bilangan penduduk yang lebih ramai.   Ini berasaskan andaian sekiranya di negeri yang mempunyai penduduk minoriti kaum lain pun kedudukan ekonomi orang Melayu tergugat, kemungkinan besar di negeri ekonomi yang dikuasai oleh kaum lain, orang Melayu akan lebih sukar untuk bersaing.  Hakikat persaingan antara kaum Melayu dan kaum lain ada dinyatakan di dalam tulisan (Omar, 2006) dan matlamat mengimbangi jurang ini menjadi salah satu matlamat utama penubuhan Dasar Ekonomi Baru.

d)     Pemilihan Kelantan juga berdasarkan dasar pemilikan tanah di negeri Kelantan yang ketat melindungi orang Melayu peranakan Kelantan.  Akta Kanun Negara 1970, menetapkan hanya orang Melayu peranakan Kelantan sahaja boleh memiliki Tanah Rizab Melayu di Kelantan (Ordinan Penyelesaian Tanah Kelantan, 1955).  Kesannya, pembinaan RBW di  negeri ini atas Tanah Rizab Melayu kemungkinan besar dimiliki atau dikongsi dengan orang Melayu.

e)      Memandangkan tidak terdapat satu badan autoriti yang boleh memberikan maklumat jumlah RBW orang Melayu secara tepat (rujuk e-mel daripada Jabatan Veterinar bertarikh 27 May 2013).  Kaedah alternatif lain digunakan untuk mendapatkan maklumat.  Antara lain menegaskan pihak  Jabatan Veterinar  belum mempunyai satu pusat data yang tepat tentang jumlah RBW di Malaysia kerana kegagalan pihak pengusaha RBW untuk mendaftar RBW mereka dengan Jabatan Veterinar.  Oleh itu, kajian akan mendapatkan data-data RBW yang dikumpulkan berdasarkan jumlah lesen cukai yang dikeluarkan oleh PBT setiap daerah dengan mengambil model kajian yang telah digunakan oleh  Fauzi Mohd Fauzi Haji Yaacob (1981) semasa beliau mengkaji Peniaga dan Perniagaan Melayu- Satu Kajian di Kota Baharu”.  Penyelidik juga akan merujuk kepada Persatuan Pedagang Sarang Burung Walit Kelantan, dan Jabatan Veterinar di setiap daerah yang terlibat untuk mendapatkan maklumat tentang kajian ini.

3.0 Pernyataan Masalah

Cabaran utama dalam perusahaan BW ialah untuk mengusahakan RBW yang berhasil dalam masa yang singkat.  Menjadi perkara biasa bagi usahawan SBW untuk menunggu sehingga 3- 5 tahun sebelum mendapat hasil (Barry, 2003).  Mengikut Hendri Mulia seorang pakar konsultan BW dari Indonesia , seorang usahawan RBW dianggap berjaya apabila BW telah mendiami RBW lebih daripada 2 tahun.    Menurut (Lim, 2007) RBW kelas super A apabila mempunyai lebih 15 sarang burung dalam tempoh 6 bulan selepas beroperasi.  Laporan Utusan Malaysia di ruangan AgroBiz pada 26 November 2012 terdapat seramai 4,286 usahawan terlibat dalam industri pengeluaran SBW yang berdaftar dengan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu (Perdasama) Muda Malaysia.  Daripada jumlah tersebut dianggarkan hampir 20 peratus terdiri daripada pengusaha Melayu (Arkib Utusan Malaysia, 2012b).
 Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan dan Statistik pada tahun 2010  terdapat  41 buah Persatuan Burung Walit yang didaftarkan pada tahun 2010 di seluruh negara. Nilai output kasar yang disumbangkan oleh ahlinya bernilai RM 3.007 juta sebulan dengan nilai harta tetap yang dimiliki pada akhir tahun bernilai RM 14.216 juta (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2012).  Ini boleh dianggap sebagai satu sumbangan yang besar kepada pendapatan negara dalam bidang pertanian jika dibandingkan dengan Penternakan dan Pembiakan Haiwan Peliharaan yang hanya menyumbangkan nilai output kasar bernilai RM 2.763 juta (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2012)
Kos yang tinggi untuk membina RBW, memerlukan modal antara RM 200 ribu hingga RM 500 ribu bergantung kepada saiz bangunan yang dibina (Adha Ghazali, 2010) . Modal yang besar dilaburkan memerlukan pulangan yang sepadan untuk membolehkan usahawan menguruskan sumber kewangan dan pusingan modal dengan baik.  Ramai usahawan Melayu bermasalah dalam industri BW kerana modal yang terhad (Esme Johari Wahab, 2010).  Walaupun, bantuan modal RM 30 ribu yang diperoleh daripada pinjaman AgroBank tetapi tidak mencukupi untuk membina RBW (Esme Johari Wahab, 2010).  RBW yang diusahakan pula tidak menjanjikan hasil seperti yang diharapkan.  Ini menjadikan mereka terperangkap dengan beban hutang dan masalah-masalah lain.  Sekiranya mereka membuat pinjaman bank, mereka akan menghadapi dan risiko kerugian.  Tidak kurang juga ada antara mereka yang kehilangan aset bernilai kerana pelaburan RBW tidak dapat menjamin hasil yang konsisten.
 Cabaran lain yang sering dihadapi oleh pengusaha walit ialah persoalan ketidaktentuan harga pasaran. Utusan Malaysia melaporkan harga SBW pernah mencapai harga RM 6,000.00 dan jatuh pada harga RM 2,000 pada akhir tahun 2012 (Arkib Utusan Malaysia, 2012a).  Situasi ini tidak sihat untuk pelaburan industri walit jangka panjang.  Ini dijangkakan akan menyebabkan satu masalah yang lebih besar kepada usahawan  SBW Melayu kerana pasaran utama industri SBW terhad kepada eksport ke negara China sahaja. Di Thailand untuk mengatasi masalah ini kempen besar-besaran memperkenalkan sarang burung telah diadakan untuk menggalakkan pasaran tempatan ("Thailand: Cerebos launches campaign on benefits eating of bird's nest soup," 2009).
Oleh itu, cabaran yang dihadapi oleh pengusaha RBW bukan hanya melibatkan persoalan bagaimana mereka perlu memahami habitat BW sahaja.  Perkara yang lebih penting mereka juga harus bijak menilai dan mengambil tahu isu-isu semasa yang berlaku dalam industri SBW.  Oleh itu, sebagai seorang usahawan tulen yang berdaya saing dan sukakan kepada cabaran dalam perniagaan.  Persoalan sikap dan personaliti mengikut teori kemujaraban kendiri wajar menjadi teras utama yang perlu diteliti sepenuhnya.  Ini memungkinkan kepada penemuan tema-tema baru yang secocok dengan usahawan industri SBW.

4.0 Persoalan Kajian

Tujuh persoalan kajian adalah seperti berikut;
1.      Apakah faktor yang mendorong usahawan SBW terlibat dalam perusahaan ini?
2.      Bagaimanakah usahawan membuat persiapan mental dan material yang diperlukan sebelum dan selepas terlibat dalam perniagaan ini?
3.      Apakah bentuk-bentuk keyakinan motivasi yang disandarkan oleh pengusaha untuk terlibat dalam bidang ini?
4.      Bagaimanakah reaksi mereka pengusaha apabila berhadapan cabaran-cabaran dalam perniagaan.
5.      Bagaimanakah corak pemikiran yang diperlukan oleh usahawan SBW untuk terus bertahan dalam bidang perusahaan ini?
6.      Apakah kemahiran pengurusan perusahaan yang membantu usahawan SBW untuk berjaya?
7.      Adakah faktor lokasi, dan orang Melayu memainkan peranan utama dalam menentukan tahap kelestarian usahawan SBW ?

5.0 Objektif Kajian

Tujuh objektif kajian ialah;
1.      Melihat sikap, motivasi, keyakinan dan lain-lain yang merangkumi aspek dalaman dan luaran yang mendorong mereka terlibat dalam industri  SBW.
2.      Meneliti persiapan mental dan material yang perlu ada pada seseorang usahawan SBW.
3.      Mengenal pasti motivasi yang telah disandarkan oleh seseorang usahawan sebelum dan selepas menceburi bidang SBW
4.      Menilai reaksi kemujaraban kendiri usahawan SBW apabila mereka berhadapan dengan cabaran-cabaran keusahawanan.
5.      Meneliti secara mendalam bentuk pemikiran yang ada pada usahawan SBW
6.      Mengenal pasti kemahiran yang perlu ada pada seorang usahawan SBW.
7.      Membentuk model kelestarian usahawan burung walit di kalangan usahawan Melayu.
Mengenal pasti kewajaran pengaruh orang Melayu dan faktor lokasi sebagai faktor utama yang mempengaruhi keberhasilan dan kelestarian usahawan SBW

6.0 Sorotan kajian

Tema- tema yang akan dibawa dalam sorotan kajian akan menjurus kepada hasil kajian dan penelitian yang telah dilakukan oleh penyelidik sebelum ini terhadap  fenomena keusahawanan  di peringkat dunia, Malaysia dan Kelantan khasnya.  Fenomena bagaimana seorang usahawan boleh terlibat dalam perniagaan hingga akhirnya berjaya mengasaskan sebuah tapak perusahaan yang kukuh untuk diwarisi oleh generasi seterusnya menjadi minat utama kajian ini.  Persoalan sikap dan peranan kemujaraban kendiri usahawan untuk menjamin kelestarian perusahaan yang telah dibangunkan turut menjadi fokus kajian.  Ini merangkumi corak pemikiran dan keputusan yang diambil apabila berhadapan dengan sesuatu krisis perniagaan.  Elemen-elemen luaran yang menjadi sokongan kepada bidang keusahawanan juga mendapat perhatian pengkaji.  Antara elemen luaran menjadi hasil dapatan pengkaji merupakan faktor pendidikan, bantuan, kewangan, lokasi yang strategik, polisi atau dasar melingkari bidang yang diusahakan. 
Kajian fenomenologi  memungkinkan kepada eksplorasi tema-tema luaran dan dalaman yang diserap oleh mereka khususnya orang Melayu Kelantan dalam mengerakkan dan membangunkan perusahaan RBW. Tema-tema ini menjadi kunci kepada kajian ini untuk membuka jalan-jalan situasi dan pengalaman sebenar usahawan Melayu dan berharap akan menemui keunikan khusus mengikut bidang yang diceburi.  Ini selaras dengan pandangan yang dihuraikan oleh Thomas dan Cheese (2005) pengalaman merupakan guru terbaik kepada manusia menerusi bukunya yang bertajuk “Leadership: Experience is the Best Teacher.  Pengalaman merupakan elemen yang dilalui langsung oleh individu manakala kemujaraban kendiri berkaitan dengan individu itu sendiri.
Oleh itu, ini memungkinkan elemen pengalaman dan kemujaraban kendiri dirangkumkan bersama kerana ia melibatkan kajian sikap keusahawanan dan pengalaman hidup usahawan itu sendiri.  Mengikut Drnovsek, Wincent, and Cardon (2010);
 The self-efficacy construct is appropriate for the study of entrepreneurship because of its nature: it is a task-specific construct that includes an assessment of confident beliefs an individual has about internal (personality) and external (environment) constraints and possibilities, and it is close to action and action intentionality (Boyd and Vozikis, 1994). For instance, Krueger et al. (2000) found self-efficacy to be a good predictor of start-up intentions”. 
 Ini merupakan gambaran awal tentang tema-tema yang mungkin ditemui dalam kajian ini  yang menjurus kepada personaliti usahawan, persekitaran dan peluang yang mencetuskan idea untuk memulakan sesuatu perniagaan.
Terdapat salah satu kecenderungan kajian penyelidikan di peringkat dunia pada waktu ini melihat kelestarian sebagai satu tema persoalan utama kajian.  Kajian tentang tema kelestarian usahawan yang berjaya telah banyak dilakukan oleh pengkaji sebelum ini seperti kajian oleh Strotmann (2007),  Thompson dan Downing (2007),Brazeal, Schenkel dan Azriel (2008),Drnovsek et al. (2010),Schorr (2008),  Fail .Sr (2010) dan Kazakov (2012).  Kajian Strotmann (2007) yang lebih memberikan fokus kelestarian usahawan baharu di Baden-Wuerttemberg, Jerman bermula pada tahun 1981 hingga 1994.  Melalui kajian yang dilakukan beliau mendapati faktor saiz permulaan amat mempengaruhi tahap kelestarian sesebuah perniagaan.  Hasil pengumpulan data dan pemerhatian beliau mendapati usahawan yang memulakan perusahaan dengan saiz yang lebih besar akan lebih bertahan atau lestari berbanding dengan mereka yang melakukan sebaliknya. 
Penemuan ini kelihatan amat rigid dan tidak menyeluruh kerana pencapaian kelestarian usahawan tidak hanya dipengaruhi oleh faktor material semata-mata.  Ini dibuktikan dengan oleh kajian oleh Thompson dan Downing (2007)  mereka melihat aspek diri usahawan itu sendiri yang mendorong usahawan ke arah lebih berpotensi berdasarkan kajian yang dilakukan di United Kingdom.  Hasilnya, mereka menyimpulkan terdapat enam pendorong utama yang mengerakkan usahawan untuk bekerja lebih tekun antaranya ialah fokus, manfaat, kreativiti, ego dan dedikasi (motivasi), kerja kumpulan, dan nilai-nilai sosial yang dipegang dalam masyarakat seperti misi dan sumbang kepada orang lain.  Penemuan ini lebih relevan dan berasas jika dibandingkan dengan kajian yang dilakukan Strotmann (2007).    Pandangan ini juga selari dengan  Dencker, Gruber dan Shah (2008), Brazeal, Schenkel dan Azriel (2008) yang turut melihat faktor individu iaitu kelapangan masa, pengalaman dan ilmu pengetahuan amat mempengaruhi kelestarian sesebuah perniagaan yang diusahakan.  Dalam kata lain, faktor modal permulaan tidak menjadi faktor utama yang akan mempengaruhi kelestarian perniagaan.
Manakala kajian oleh Altinay (2008) pula memberikan perhatian kepada hubungan usahawan dan budaya keusahawanan di sesebuah firma.  Kajian melibatkan usahawan minoriti berbangsa Turki di London untuk melihat kaitan antara faktor agama, pendidikan dan bahasa.  Melalui kajian ini, beliau menyimpulkan terdapat satu hubungan yang kuat antara ketiga-tiga faktor itu.  Hasil kajian beliau antara lain mendapati mereka yang berpegang kuat kepada agama Islam lebih terarah untuk menjadikan pengurusan perniagaan mereka lebih konservatif.  Dalam erti kata lain, beliau mendapati usahawan yang berpegang kuat kepada agama akan berhadapan dengan masalah pengurusan fizikal perniagaan itu sendiri kerana sekatan-sekatan yang terdapat dalam agama.  Kajian oleh Altinay (2008) merupakan lebih kepada satu perbandingan etnografi dalam bidang keusahawanan kerana beliau mula melihat kesan etnik, agama, bahasa dan kawasan dan kaitan kepada perusahaan.  Pandangan ini, masih boleh dipertikaikan kerana konteks yang digunakan hanya melibatkan golongan minoriti.  Tentu sekali hasil yang diperoleh tidak boleh dijadikan satu justifikasi yang bersifat generalisasi.  Sekiranya kajian ini dilakukan di negara Turki mungkin hasil sebaliknya akan ditemui.  Berdasarkan hasil kajian ini,  ia memungkinkan beberapa persoalan lain yang boleh dilihat dalam kajian berikutnya.  Adakah pengalaman Islam agama di London akan menyekat kemajuan dalam bidang keusahawanan?  Ataupun kajian ini lebih kepada kajian pertembungan dua budaya melibatkan bahasa, agama, dan etnik yang berbeza.  Neraca pertimbangan yang dilakukan lebih memihak kepada budaya dominan kerana alat dan method yang digunakan lebih memihak kepada konteks, masa, dan budaya sekeliling kawasan kajian dilakukan.
Hasil sorotan kajian tentang kelestarian usahawan di Malaysia menemui faktor pembiayaan atau bantuan kewangan memainkan peranan penting seperti dalam kajian oleh Shahadan  dan Berma (2004), Sharil .et al (2008), Moha Asri (1999), Mohd Rosli (2000) dan Zainal dan Daud (2011).  Melalui kajian oleh Sahaha dan Madeline Berma  (2004)  mendapati kelestarian perniagaan terutamanya bumiputera Malaysia dipengaruhi oleh sumber pembiayaan formal dan tidak formal.  Kemampuan membuat pinjaman dipengaruhi oleh tahap pendidikan yang diterima oleh usahawan.  Ramai pengusaha memilih untuk membuat pinjaman tidak formal kerana kekurangan maklumat dan pendedahan terhadap sistem bantuan kewangan yang sedia ada.  Manakala bagi usahawan bumiputera, tahap pendidikan mempengaruhi kecenderungan mereka dalam membuat pinjaman formal.  Semakin tinggi tahap pendidikan yang diterima, semakin tinggi cenderung untuk membuat pinjaman.  Kaum bumiputera banyak bergantung kepada sumber pinjaman daripada pihak kerajaan.  Dapatan yang hampir sama diperoleh Sharil .et al (2008) dan beliau menjelaskan sumber pembiayaan tidak formal itu berupa simpanan peribadi dan pinjaman daripada rakan-rakan.  Memetik pandangan oleh Greg Welch (2007) di dalam Sharil .et al (2008) “ cabaran terbesar bagi usahawan muda berumur di bawah 30 tahun ialah kurangnya pengalaman dan masih belum cukup matang”.  Mereka berhadapan dengan masalah besar menyediakan modal.  Oleh itu, Moha Asri (1999) berpendapat peranan pihak kerajaan amat penting dalam membantu pihak usahawan di Malaysia. Manakala Hashim (2005, pp. 25-27) menyenaraikan lebih daripada 60 agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan di bawah setiap kementerian untuk membantu perkembangan ekonomi di Malaysia.  Ini turut dijelaskan oleh Chee (1986), Rosli (2000) melaporkan daripada 13 kementerian lebih daripada 30 agensi yang terlibat dalam membantu perkembangan SMEs dan angka itu telah meningkat kepada 60 agensi di bawah 18 kementerian telah diwujudkan.  Oleh itu, kenapa masih timbul isu pembiayaan tidak formal lebih popular berbanding dengan agensi yang disediakan oleh kerajaan?.  Faktor ini diandaikan juga akan memainkan peranan penting dalam menentukan pertumbuhan industri SBW  bumiputera di Kelantan.  Ini memandangkan kos untuk membina sebuah RBW  boleh mencecah  RM 80.00  kaki persegi (Damak, 2011).  Ini bermakna untuk membina sebuah RBW berkeluasan 20 kaki ( lebar) x 80 kaki ( panjang ) x 3 tingkat bersamaan RM 384 ribu.   Adha Ghazali (2010) pula melaporkan untuk membina RBW memerlukan modal antara RM 200 ribu hingga RM 500 ribu bergantung kepada saiz bangunan yang dibina.

Perbincangan tentang tema kelestarian, cabaran dan masa depan usahawan Melayu boleh di lihat dalam  Omar (2006), Sharil et al (2006), Zainol dan Daud (2011) serta Ishak, Che Omar dan Ahmad (2012).  Bermula dengan pandangan Omar (2006) beliau menulis pengalaman dan pemerhatian beliau terhadap budaya dan sikap orang Melayu yang terlibat dalam perniagaan.  Beliau berpandangan masalah penyatuan di kalangan Melayu yang tiada kesudahan memberikan impak kepada ekonomi mereka.  Kekuatan orang Melayu banyak terletak kepada kelebihan dalam bilangan yang ramai atau politik.  Namun perbezaan parti dan faham politik membataskan penyatuan mereka.  Ini memberikan kesan yang besar kepada pembangunan ekonomi mereka.  Beliau menyimpulkan budaya fitnah memfitnah yang masih berleluasa menjadikan tahap ekonomi Melayu terancam dan mereka masih berada di pihak yang kalah.   Malah di awal kata pengantar buku beliau yang ditulis oleh Tun Mathathir (Perdana Menteri Malaysia 1986- 2003) berpandangan buku yang ditulis oleh  Shukor Omar tidak banyak beza dengan pandangan beliau.  Cuma membezakan buku ini lebih memberikan tumpuan kepada penglibatan orang Melayu dalam dunia perniagaan.
Namun kajian oleh Sharil .et al (2008) menemui peniaga-peniaga Melayu di pusat membeli belah dan pasar raya di bandar Melaka berhadapan dengan masalah untuk mengekalkan momentum perniagaan kerana terdapat banyak “red tape” atau halangan dalam mendapatkan bantuan.  Jika dibandingkan dengan peniaga bukan Melayu.  Kegiatan orang ekonomi orang Melayu masih memerlukan sokongan dan bantuan daripada pihak kerajaan.  Kajian oleh Zainol dan Daud ( 2011) pula memberikan maklumat secara angka tentang pertumbuhan ekonomi orang Melayu di bawah  Dasar Eknomi Baru ( 1970-1990) Dasar Pembangunan Nasional (1990-2000).  Hasil pencapaian hanya 20.3% berbanding dengan sasaran 30 %.  Ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pencapaian etnik bukan Melayu (terutamanya orang Cina) yang meningkat daripada 32.3%  pada tahun 1970 kepada 46.2% pada tahun 1995 (Rancangan Malaysia Ketujuh. 1996).  Ini juga menunjukkan satu bentuk hubungan yang tidak konsisten antara kewujudan agensi pembiayaan dengan pencapaian ekonomi di kalangan orang Melayu  berbanding orang bukan Melayu.
Persoalan ilmu pengetahuan amat penting dalam bidang keusahawanan.   Ini ditemui dalam kajian yang dilakukan oleh Shahadan dan Berma (2004), Rose. et al (2006), Abdul Kadir dan Rosli (2011), Ramayah et al (2012) serta Al- Madhaoun dan Analoui (2003).  Mereka sependapat pendidikan dan ilmu pengetahuan mempengaruhi bentuk pengurusan sesebuah perniagaan.  Pendidikan juga akan mempengaruhi kesedaran tentang membuat pinjaman daripada agensi kerajaan (Shahadan & Berma 2004).  Kepentingan ilmu pengetahuan, pendidikan, kemahiran juga muncul dalam kajian oleh Altinay (2008), Fail. Sr (2010), dan Schorr (2008) yang dilakukan di negara lain.  Ini menunjukkan satu tema yang universal dan tidak menjurus kepada konteks negara tertentu sahaja.  Cuma dalam kajian Rose. et al (2006) mereka menambah faktor pengalaman bekerja dan bimbingan keluarga turut menjadi faktor penting dalam menentukan kelestarian perniagaan.  Kajian oleh  Ramayah et al (2012)  telah menjelaskan ilmu pengetahuan atau pendidikan mempengaruhi niat, kerjaya dan mendorong usahawan untuk berjaya.  Kajian ini berbentuk khusus kerana responden yang kaji melibatkan golongan usahawan di kalangan alumni Universiti Sains Malaysia.  Begitu juga kajian oleh Ishak et al (2012) menegaskan pengetahuan yang mendalam dan khusus dalam bidang yang diceburi mempengaruhi tahap kelestarian sesebuah perusahaan.
Tema kemujaraban kendiri dilihat muncul dalam kajian yang dilakukan oleh Rose, Kumar dan Yen (2006), Ainin et al (2010), Alam, Jani, dan Omar (2011), Ramayah et. al (2012) dan Ishak et al (2012).  Persoalan tentang sikap, personaliti, individu, motivasi, niat, cekal, mengambil risiko, tingkah laku yang khusus (Ramayah et al,2012) dilihat menjadi faktor yang kuat mempengaruhi sesebuah perniagaan untuk berjaya.  Ini merangkumi ilmu pengurusan ( Abdul Kadir  & Rosli 2011);(Ishak et al , 2012),  kompetensi usahawan dan pengalaman bekerja (Rose . et al ,2006).  Manakala Alam et al (2011) menyatakan faktor kejayaan usahawanita banyak bergantung pada sokongan keluarga, motivasi dalaman yang diterima.  Tema yang muncul ini dilihat menjadi persoalan asas yang akan dibincangkan di bawah perbincangan analisis kemujaraban kendiri usahawan burung walit di Kelantan nanti.
Ringkasnya tema-tema yang muncul daripada sorotan kajian ini akan dijadikan asas untuk meneliti kelestarian usahawan Melayu dalam industri burung walit.  Persoalan secara umumnya boleh dilihat merangkumi dua aspek utama iaitu elemen individu yang dirangsang oleh pengalaman dan pendidikan sama ada secara formal atau tidak formal.  Dimantapkan oleh kemampuan untuk memulakan perniagaan dengan bantuan secara formal atau tidak formal.  Kedua elemen pendidikan dan pembiayaan akan merangsang kemujaraban kendiri yang akan melahirkan niat dan motivasi yang seterusnya akan memungkinkan kepada kelestarian perniagaan yang diusahakan.

7.0 Kerangka Kajian

Kajian bersifat eksplorasi feomenologi  (Edmund Husserl,1906) untuk mencari tema-tema penting yang boleh angkat sebagai satu kerangka utama untuk pembentukan kelestarian usahawan burung walit Melayu di Kelantan.  Kajian mendalami fenomena usahawan burung walit Melayu bermula dengan teori kemujaraban kendiri  (Bandura, 1977).  Bertitik tolak daripada usahawan itu sendiri yang terdedah kepada ilmu pengetahuan sama diperoleh melalui pendidikan atau pun pengalaman peribadi.  Berdasarkan Rajah 3 dapat dihuraikan tema-tema yang mungkin dijumpai dalam kajian ini nanti.  Ilmu pengetahuan akan memainkan peranan penting dalam usaha untuk menentukan permulaan perniagaan sama ada melalui pinjaman secara formal atau tidak formal.  Elemen modal memainkan peranan penting yang merangsang kemujaraban kendiri untuk mencetuskan motivasi dan mengekalkan niat.  Dalam  erti kata lain kemujaraban kendiri mula bereaksi dengan persekitaran luaran dan dalaman terhadap industri SBW menyebabkan mereka terlibat dalam industri ini.  Dengan dorongan motivasi dan niat usahawan mampu untuk mewujudkan kelestarian dalam perniagaan yang mereka usahakan.
Selain itu mungkin terdapat reaksi dalaman berpunca daripada dalam diri mereka sendiri seperti personaliti, sikap, pemikiran, dan lain-lain yang memerlukan penerokaan lanjut di kalangan usahawan SBW.  Reaksi luaran mungkin aspek makro yang berkaitan dengan industri SBW secara langsung seperti isu harga, polisi, persaingan, perubahan keadaan semasa, habitat RBW.  Akhirnya kajian mungkin akan mampu menunjukkan satu model usahawan SBW Melayu Kelantan yang berjaya mengikut tema-tema kemujaraban kendiri yang ada pada usahawan burung walit pada waktu ini.

8.0 Jangkaan Hasil Kajian

Penelitian menjangkakan faktor perusahaan SBW Melayu di Kelantan didorong oleh kemampuan usahawan untuk merebut peluang yang tersedia.  Faktor kewangan dan pembiayaan memainkan peranan penting yang melibatkan bantuan daripada pihak kerajaan ataupun sumber dalaman.  Usahawan yang mempunyai kemujaraban kendiri dijangkakan akan mampu bersaing dan bertahan dalam industri SBW.  Kajian juga menjangkakan kejayaan usahawan SBW banyak bergantung didorong oleh faktor lokasi.  Manakala industri SBW bersifat perniagaan sampingan atau sokongan.  Maksudnya, usahawan sudah mempunyai sumber pendapatan lain secara tetap atapun sudah berkerjaya.  Industri SBW dianggap sebagai bonus atau simpanan hari tua mereka.





Rajah 1: Kerangka Kajian


9.0 penutup

Berdasarkan aspek-aspek kajian yang telah dihuraikan sebelum ini.  Kajian mendapati terdapat satu keperluan penting untuk melihat aspek kemujaraban kendiri pada diri seorang usahawan SBW.  Kajian ini diharap boleh memberikan satu gambaran yang lebih tepat tentang tema-tema kelestarian keusahawanan SBW Melayu di Kelantan.  Penelitian ini merupakan percubaan awal untuk memahami industri SBW dalam konteks ilmu keusahawanan.  Diharapkan kajian ini akan membuka jalan kepada idea dan kajian-kajian yang lebih bermanfaat pada masa hadapan.



Rujukan



 Kertas Kerja ini seperti yang telah dibentangkan pada Kolokium IPS UMK pada Oktober 2013.

Hubungi Damak di talian +6012-5917493 @ 012 9626 124, untuk maklumat lanjut.Atau email ke waletgroup@gmail.com. Pilihan ditangan Anda..

1 comment:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete